Selasa, 20 Mei 2014

Ramkarpal: Terima kasih Muslimat PAS

MOHD SABRI SAID 




 

HARAKAHDAILY: Muslimat PAS ada melaksanakan program rawatan percuma. Apakah pandangan anda?

RAMKARPAL: Saya berterima kasih pada Muslimat PAS kerana sudi melaksanakan program seumpama itu. Saya juga pergi dan menerima rawatan. Ia sungguh baik dan DAP amat menghargai kesungguhan PAS mendekati masyarakat setempat. Sebenarnya DAP pun tidak terfikir untuk mengadakan program begitu.

Anda mempunyai latar belakang guaman. Apakah apabila menang nanti anda berhajat menwujudkan pusat guaman percuma?

RAMKARPAL: Bab itu sudah lama saya buat. Hampir 10-15 tahun lalu saya sulamkan kerja kebajikan menyelesaikan masalah rakyat dengan kerjaya saya sebagai peguam. Saya cuba buat yang terbaik sepertimana ayah saya Karpal Singh.

Ada lagikah kawasan yang belum ditembusi?

RAMKARPAL: Sepanjang kempen, jentera kita telah menembusi 90 peratus termasuk kawasan yang tegar Umno seperti di lokasi penempatan Melayu di Dewan Undangan Negeri, Seri Delima.

Dulu agak sukar memasuki kawasan Melayu tetapi melalui kempen dan bantuan jentera komponen Pakatan Rakyat semuanya dapat ditembusi. Kami memberi penerangan apa yang Kerajaan Pakatan Rakyat lakukan untuk kepentingan rakyat sendiri.

Apakah pesanan anda kepada pengundi di Bukit Gelugor?

RAMKARPAL: Kepada pengundi Bukit Gelugor, keluarlah beramai-ramai mengundi pada 25 Mei nanti kerana undi anda adalah penentu masa depan negara. Apabila mengundi pilihlah pakatan Rakyat kerana kami berjaya membentuk sebuah negeri yang bersih, hijau, sihat dan selamat.

Saya juga bertekad akan meneruskan usaha perkhidmatan perubatan percuma pada masa depan sebab melalui cara itu kita dapat menyalurkan maklumat di samping menjalinkan ikatan persaudaraan.

Tiada ulasan: