Selasa, 20 Mei 2014

Ramkarpal Kecam BN Persoal Pencalonan Dyana

 
 
 
GEORGE TOWN: Walaupun MCA tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gelugor, DAP terus mengecam Barisan Nasional (BN) dengan mendakwa parti itu membakar sentimen perkauman dalam kempennya di Teluk Intan.


Calon DAP, Ramkarpal Singh Deo berkata,  BN sengaja menghidupkan sentimen perkauman apabila mempersoalkan bangsa, Dyana Sofya Mohd Daud.

"Jadi apa kalau dia Melayu, Cina, India atau Kadazan. Kenapa nak persoalkan bangsa dia? Siapa sebenarnya yang mulakan perkara ini? ," katanya ketika berucap pada ceramah di Flat Farlim, Bandar Baru Air Itam, malam Isnin.

Menafikan DAP sebuah parti bersifat cauvanis, Ramkarpal turut mendakwa bekas Perdana Menteri, Tun Dr  Mahathir Mohamad masih lagi mengawal Umno dengan dasar perkauman sebegitu.

"Biarlah Dyana berkempen. Bukan tak ada pemimpin Umno lain. Kenapa dia masih memberi komen tentang Dyana?," katanya.

Ramkarpal berkata, atas alasan itu beliau telah turun ke Teluk Intan pagi Isnin untuk memberikan sokongan dan semangat kepada Dyana supaya kuat dalam menghadapi serangan BN.

"Saya nasihatkan dia supaya sentiasa kuat. Jika dia sudah hilang semangat, ingatlah 'I am Karpal Singh'," katanya.

Sementara itu, anak ketiga mendiang Karpal itu turut meminta pengundi mengingati khidmat bapanya yang sebelum ini menjadi Ahli Parlimen di kawasan tersebut.

"Bolehkah anda semua keluar mengundi beramai-ramai pada 25 Mei ini? Kemenangan DAP pada hari itu merupakan momentum perubahan kepada negara ini," katanya.

Tiada ulasan: