MALAYSIAKINI
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata beliau akan
menentukan masa yang sesuai untuk MCA menyertai semula kabinet, kerana
sebagai sebahagian daripada BN, ia tidak boleh terus beroperasi di luar
kerajaan.
Beliau juga berjanji kepada masyarakat Cina bahawa jika adil, kerajaan
akan memberi pertimbangan serius kepada permintaan mereka mengenai
perubahan dasar yang dibuat melalui MCA.
"Saya mengalu-alukan MCA menyertai kerajaan dan kabinet," katanya sambil
menambah bahawa beliau akan memutuskan tentang butiran dan masanya.
Beliau menegaskan demikian ketika berucap kepada 3,000 hadirin yang
terdiri daripada ahli MCA dan pemimpin NGO dan persatuan Cina di majlis
pelancaran kempen transformasi MCA bertemakan 'Teguh
Bersama' di perhimpunan perpaduan parti itu di ibunegara.
Perdana menteri berkata, jika MCA bercakap untuk menjadi lebih kuat, maka ia mesti berada di dalam kerajaan.
"Bersama-sama kita melakar masa depan Malaysia dan merangka dasar-dasar yang adil kepada semua masyarakat," tambahnya.
Menurutnya, jika masyarakat Cina memerlukan kerajaan melihat semula
beberapa dasarnya dan membuat penyesuaian dan jika permintaan itu adil,
maka "sudah tentu kita akan memberi pertimbangan serius kepada MCA".
Bagaimanapun, kata Najib, sebagai "bapa kepada 13 anak" - merujuk kepada
parti komponen BN - beliau mesti mendengar suara dan pandangan mereka
semua.
MCA memutuskan untuk tidak menerima jawatan dalam kerajaan selepas
kehilangan sokongan besar masyarakat Cina dalam pilihan raya umum lepas.
Bagaimanapun, keputusan itu ditarik balik semasa mesyuarat agung luar biasa parti itu Februari lalu.
Perdana menteri berkata, cabaran kepimpinan selama ini menyumbang kepada
kelemahan MCA dan bagi memulihkan kekuatannya, parti itu mesti bermula
dengan membina semula perpaduan dalam parti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan