MALAYSIAKINI
Malaysia Airlines (MAS) menjadualkan semula waktu penerbangan MH740/741
selepas bahagian perut pesawat berkenaan dilanggar sebuah kenderaan di
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Pesawat B737-800 itu pada asalnya dijadual berlepas ke Yangon
(Penerbangan MH740) pada 10:05 pagi, tetapi berikutan kejadian itu,
penumpang dipindahkan ke sebuah pesawat lain yang berlepas pada 10:45
pagi hari sama, kata MAS dalam kenyataan.
Katanya penerbangan pulang (MH741) pula dijadualkan semula untuk berlepas dari Yangon pada 12:30 tengah hari, katanya.
Menurut MAS, pemandu kenderaan yang dimiliki sebuah syarikat vendor yang terlibat dalam kejadian itu segera ditahan.
Pengarah operasi MAS Kapt Izham Ismail berkata para jurutera MAS sedang membuat penilaian tentang kerosakan yang dialami.
"Penilalain awal menunjukkan kejadian itu tidak memberi risiko terhadap
struktur pesawat terbabit. Bagaimanapun, pesawat itu tidak dibenarkan
terbang untuk membolehkan pemeriksaan rapi dilakukan terhadapnya," kata
beliau.
Izham menegaskan bahawa keselamatan penumpang sentiasa menjadi keutamaan MAS.
Melalui kenyataan itu juga, Malaysia Airlines memohon maaf kepada
kesemua penumpang MH740/741 hari ini berikutan kejadian tersebut yang
menjejaskan rancangan perjalanan mereka.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan