Isnin, 19 Mei 2014

Pengundi Teluk Intan perlu mengundi sebagai rakyat Malaysia, kata Kit Siang

THE MALAYSIAN INSIDER

 




























Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata Pilihan Raya Kecil  (PRK) Teluk Intan merupakan masa yang tepat bagi pengundi mula mengundi sebagai rakyat Malaysia dan bukannya berdasarkan kaum semata-mata.

Lim yang juga ahli Parlimen Gelang Patah menggesa pengundi di Teluk Intan menyelamatkan Malaysia dengan melakar sejarah dan mencipta keajaiban daripada cuba menyelamatkan parti komponen Barisan Nasional (BN), Gerakan.

"Saya menggesa pengundi Teluk Intan untuk melakar sejarah dan mencipta keajaiban buat kali kedua dalam dekad ini yang boleh membuka mata rakyat Malaysia untuk menyelamatkan negara ini daripada terus gagal dan berpecah belah.

"Ini merupakan cabaran yang perlu dihadapi Teluk Intan untuk bangkit dalam usaha meningkatkan undi demi masa depan negara," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, berbeza dengan pencalonan PRK Bukit Gelugor minggu lalu apabila semua pemimpin BN cuba menutupi ketakutan berdepan kekalahan dengan tidak bertanding tetapi pada hari penamaan calon PRK Teluk Intan, dapat dilihat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri yang mengetuai jentera pilihan raya.

Katanya, situasi itu berlaku berdasarkan alasan yang sangat jelas apabila BN yakin DAP melakukan kesalahan besar dengan meletakkan Dyana Sofya Mohd Daud untuk melawan Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong.

"Presiden Gerakan dikatakan bersedia untuk memenangi PRK 31 Mei ini merupakan sebab mengapa pemimpin BN berani untuk hadir pada penamaan calon pagi tadi berbanding ketika Bukit Gelugor Isnin lalu.

"Malah pemimpin Umno-BN percaya mereka mampu menjatuhkan Pakatan Rakyat - DAP pada PRK Teluk Intan kali ini termasuk dengan menyerang kelemahan parti ini di kalangan pengundi Melayu, India dan Cina di kawasan itu," katanya.

Lim berkata, ketika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, DAP berjaya mendapatkan sokongan 25% pengundi Melayu daripada jumlah keseluruhan pengundi sebanyak 38%.

"BN percaya serangan sengit dengan penipuan dan kenyataan salah bagi menentang DAP dan calonnya dapat memastikan parti ini tidak akan mampu untuk mempertahankan tahap sokongan daripada pengundi Melayu yang berjaya diperolehi tahun lalu," katanya.

Beliau berkata, pemimpin DAP juga dilabelkan sebagai anti Melayu dan Islam selain pengikut komunis dan menyerang peribadi Dyana di sosial media sebelum beliau diumumkan secara sah akan menjadi calon DAP dalam PRK Teluk Intan.

"BN turut menyerang pengundi India yang menyumbang sebanyak 19% apabila menggunakan kad menterinya untuk menawarkan wang bagi pembangunan dan memainkan kenyataan Cina mesti mengundi untuk Cina bukan mengundi Melayu seperti Dyana," katanya.

Lim berkata, situasi ini merupakan politik lama yang berdasarkan kaum di mana rakyat Malaysia perlu melakukan perubahan dengan memperkenalkan politik baru yang berdasarkan identiti rakyat Malaysia.

Katanya, atas alasan itu, PRK Teluk Intan merupakan persaingan sengit buat DAP dan meramalkan peluang kemenangan adalah sebanyak 40% hingga 60%.

"Persaingan di Teluk Intan adalah antara masa lalu dan masa hadapan, baru melawan lama, ahli politik nasional menentang ahli politik perkauman," katanya.

Beliau berkata, PR mesti berusaha untuk berhubung dengan pengundi sehingga ke akar umbi untuk menjelaskan dalam kempen selama 12 hari ini kepada penduduk untuk membuktikan BN salah.

Tiada ulasan: