Isnin, 12 Mei 2014

Penangguhan Hudud...Kejayaan Fasa Pertama UMNO Terhadap PAS

shahbudindotcom



Pas akhirnya mengambil keputusan menangguhkan pembentangan usul persendirian mengenai hudud yang dijangka akan dilakukan pada sidang Parlimen Jun depan. Presiden Pas, Haji Hadi Awang dalam kenyataan yang diumumkan oleh timbalannya, Mohamad Sabu menjelaskan, penangguhan itu dibuat bagi memberi laluan kepada jawatankuasa teknikal yang telah dipersetujui penubuhannya untuk memberi saranan dan mengemukakan cadangan lanjut mengenainya.

Terserah kepada jawatankuasa teknikal yang akan berbincang dengan kerajaan Kelantan dan Pusat, tambah Mohamad Sabu lagi.

Ketika isu hudud panas dengan hasrat Pas membentangkan usul persendirian, UMNO dan kerajaan Pusat melalui Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin telah mencadangkan agar ditubuhkan sebuah jawatankuasa bersama bagi mengkaji perlaksanaan hukum Islam itu. Ia kemudian disusuli dengan kunjungan Jamil Khir Baharom keatas Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah dan seterusnya mengumumkan persetujuan penubuhan jawatankuasa teknikal itu.

Walaupun bersangka baik dengan kesungguhhan Pas mahu melaksanakan hukum Islam itu, blog ini beberapa hari lalu telah meramalkan bahawa usul hudud ini bakal ditangguhkah sekali lagi berikutan sikap Pas yang mulai terperangkap dengan permainan UMNO mengenainya.

Cadangan penubuhan jawatankuasa teknikal itu, walaupun niatnya baik, tetapi ianya lebih dipercayai merupakan permainan licik UMNO untuk melengah-lengahkan, bermain dengan masa dan seterusnya menangguhkan perlaksanaan hukum hudud itu.

Ini kerana UMNO bukanlah serius sangat terhadap hukum Islam itu, malah Perdana Menteri, Najib Razak sendiri yang beberapa tahun lalu menolak perlaksanaan hukum hudud, baru-baru ini pula menyatakan banyak perkara perlu dihalusi dan diteliti sebelum hukum itu mahu dilaksanakan.

Dalam masa yang sama, bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad yang masih berpengaruh dan kadangkala ditakuti oleh kebanyakan pemimpin UMNO, masih keras menolak perlaksanaan hukum itu.

Penolakan nyata UMNO terhadap hudud juga terserlah apabila DUN Negeri Terengganu yang dikuasai oleh UMNO baru-baru ini turut menolak untuk melaksanakan hukum tersebut.

Rakan karib UMNO dalam BN iaitu MCA dan Gerakan pula terang-terang menolak hudud. Mereka bukan saja mengancam akan mengadakan kempen bantahan, memungut tandatangan, menyediakan 100 peguam, bahkan mengugut mahu meninggalkan BN jika UMNO memberi sokongan kepada usul hudud yang mahu dibawa oleh Pas.

Sebagai parti yang disokong oleh orang Melayu dan Islam, terutama di luar bandar, UMNO cuba berselindung di sebalik pelbagai hujah dan alasan untuk tidak menolak bulat-bulat hudud kerana bimbangkan kehilangan sokongan melayu dan Islam dengan pendiriannya menolak hudud yang memberi gambaran tidak Islamik. Penubuhan jawatankuasa teknikal bersama adalah untuk menjadikan Pas bergantung kepada UMNO bagi melaksanakannya.

Di sebalik mencadangkan menubuhkan jawatankuasa bersama, UMNO juga sehingga ini belum memberi kata putus sama ada mahu menyokong atau menentang usul itu. Ini ditambah dengan ugutan MCA, ancaman Gerakan dan gertakan Mahathir - tindakan UMNO dan kerajaan Pusat seolah-olah menyokong usul hudud ini memang boleh diragui.

Kini, sebagaimana yang dijangka, setelah sekian lama berlarutan di media dan banyak pemimpin kedua-dua belah pihak juga sudah mengulas mengenai hudud itu, Pas akhirnya mengambil keputusan menangguhkannya bagi memberi kuasa kepada jawatankuasa teknikal memainkan peranannya. Tetapi tidak pula diberitahu sehingga bila?

Apa yang mengharukan, siapa anggota jawatankuasa teknikal ini, berapa lama tempoh diberikan untuk memberikan saranan dan sebagainya belum pun diumumkan lagi. Tetapi Pas sudah pun mengalah kepada jawatankuasa itu.

Dengan pelbagai isu dan masalah yang melanda negara sekarang ini, bolehkah kita mengharapkan jawatankuasa teknikal ini dapat menjalankan tugasnya dalam tempoh enam bulan atau setahun dari sekarang? Atau mungkinkah ia nanti akan memakan masa selama tiga tahun, lima tahun atau sepuluh tahun?

Bolehkah juga kita yakin jawatankuasa teknikal ini mampu menyelesaikan tugasnya sebelum PRU 14 empat tahun lagi?

Apa yang nyata, dengan pengumuman penangguhan ini, isu hudud ini akan reda dalam jangka masa yang sukar diramalkan. Mungkin juga ia tidak dibangkitkan lagi sehingga pilihahraya akan datang. Walaupun ada baiknya kerana ia akan menyebabkan hudud tidak lagi dihina dan diperlekeh dengan pelbagai andaian serta syak wasangka oleh bukan Islam, harapan umat Islam seluruhnya ialah agar ia tidak ditangguhkan untuk tempoh yang terlalu lama atau selama-lamanya.

UMNO dan kerajaan Pusat tentulah lega dengan kejayaan mereka berjaya membuatkan Pas menangguhkan pembentangan usul hudud itu. Ia adalah kejayaan fasa pertama melalui sikap berbaik-baik dan mencadangkan penubuhan jawatankuasa teknikal itu. Penangguhan ini akan membuatkan keretakan UMNO dengan MCA dan Gerakan dapat dipulihkan serta imejnya di mata penganut Islam tidak terjejas.

Setelah MCA mengumumkan tidak bertanding di Bukit Gelugor tetapi Gerakan ghairah mahu meletakkan calonnnya di Teluk Intan, pilihanraya kecil ini akan menjadi medan UMNO merapatkan semula hubunngannya dengan rakan-rakan komponennya tanpa dibayangi oleh isu hudud yang mungkin menghantuinya.

Tanpa diketahui bila isu hudud ini akan bangkit kembali atau sama ada Mursyidul Am Pas, Nik Aziz Nik Mat sempat melihat ianya menjadi kenyataan sebelum menutup matanya, kesediaan Pas berjinak-jinak dengan UMNO serta kerajaan Pusat dan kemudian akur kepada jawatankuasa teknikal, jelas suatu kesilapan.

Setelah beberapa kali diperdaya, UMNO sekali lagi berjaya memperdaya Pas atau dalam ertikata lain Pas juga membenarkan dirinya diperdaya. Percayalah, jika masih bergantung kepada UMNO, sampai bila pun hudud ini tidak akan berjaya.

Tiada ulasan: