Jumaat, 16 Mei 2014

PAS: UIA halang, siswa berforum hudud di lantai

MALAYSIAKINI



 


Universiti Islam Antarabangsa (UIA) didakwa menghalang sebuah acara membincangkan isu pelaksanaan hudud, menyebabkan pesertanya terpaksa berforum di lantai di luar sebuah dewan kuliah kampus itu di Gombak, Selangor.

Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM) Pemuda PAS mendakwa, forum malam kelmarin yang turut melibatkan pengarah jabatan itu Noorazmir Zakaria tidak dijalankan dengan sempurna apabila dewan tempat ia patut berlangsung dikunci.

“Akibat daripada itu, pihak penganjur terpaksa menghampar tikar di luar dewan kuliah untuk meneruskan sesi forum tersebut memandangkan ramai hadirin yang telah hadir,” kata Noorazmir (kanan).

Dalam kenyataannya hari ini, beliau juga dimaklumkan oleh penganjur acara itu bahawa pihak keselamatan UIA memberikan alasan namanya disenarai hitam oleh polis.

“Saya ingin menegaskan bahawa alasan oleh pihak pentadbiran UIAM ini adalah suatu fitnah yang jahat dan bertujuan untuk menghina saya.

“Saya pohon pihak universiti untuk menunjukkan bukti bahawa saya telah disenarai-hitam oleh pihak polis sedemikian rupa,” katanya.

Kenapa paranoid topik hudud?

Beliau menegaskan tidak pernah dituduh atau didakwa di mahkamah mahupun ditahan oleh pihak polis untuk sebarang kes jenayah.

Noorazmir juga membangkitkan gangguan itu sedangkan program itu telah diluluskan oleh pentadbiran universiti.

“Saya amat hairan mengapakah pentadbiran UIAM berasa paranoid mengenai topik hudud ini tatkala subjek hudud turut diajar kepada mahasiswa undang-undang syariah di UIAM sendiri,” katanya.

Selain Noorazmir, pemegang sarjana dalam bidang perbandingan undang-undang UIA Muhammad Zaki Sukery turut menjadi ahli forum berjudul "Hudud: Kefahaman sebelum pelaksanaan" itu.

Menurut poster acara, forum dua jam setengah itu dianjurkan sekretariat mahasiswa fakulti ilmu wahyu dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Singapura UIA.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan komen daripada pihak UIA berhubung dakwaan itu.

Tiada ulasan: