Jumaat, 2 Mei 2014

PAS pasrah jika Parlimen tolak hudud

MALAYSIAKINI


 


PAS sedia menerima kemungkinan pelaksanaan hudud di Kelantan ditolak oleh Parlimen, jika mereka diberikan peluang untuk membentangkan rang undang-undang persendirian tentang hukum itu di Dewan Rakyat.

Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, sebagai sebuah negara demokrasi, PAS mahu “melalui ruang demokrasi” dalam memastikan cita-cita melaksanakan hukum itu tercapai.

"Kita demokratik, kita mendukung demokrasi di negara kita.

"Sebab itu kita minta orang berikan ruang kepada Kelantan untuk bentangkan rang undang-undang ini.

"Mana siapa yang tidak bersetuju mereka boleh mengundi untuk menolak.

"PAS menerima apa-apa sahaja keputusan (jika) PAS sudah diberikan ruang demokrasi," katanya pada sidang media di ibu negara, pagi ini.

PAS sebelum ini bercadang membentangkan rang undang-undang persendirian di Parlimen bagi membolehkan hudud dilaksanakan di Kelantan.

Menariknya kali ini beberapa anggota Parlimen BN dari Umno menyatakan kesedian untuk menyokongnya.

Malah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga tidak membantah hasrat PAS itu.

Mahfuz dalam sidang medianya pagi ini turut menggesa Najib agar memberikan ruang kepada PAS untuk muncul di televisyen bagi memberikan penjelasan kepada orang ramai tentang hudud.

"Kalau beliau (Najib) jujur untuk beri ruang dan peluang untuk beri penerangan kepada masyarakat, cukup untuk beliau sediakan ruang di RTM atau media elektronik arus perdana.

"Jemput ulama PAS khususnya presiden PAS sendiri untuk beri penerangan dan penjelasan tentang hudud atau wakil kerajaan Kelantan untuk beri penerangan," katanya.

'Umno jangan jadi pondan'


Malah, Mahfuz pagi ini turut mencabar Najib dan Umno untuk membentangkan rang undang-undang itu jika mereka benar-benar serius mahu melihat ia dilaksanakan.

"Kalau dia bukan 'pondan', dia bawalah bil ini ke Parlimen.

"Dia bawa dan dia kena pastikan bil itu menang dan MP (Umno) kena hadir," katanya.

Sementara itu, Mahfuz turut menolak gesaan agar PAS keluar dari Pakatan Rakyat sekiranya masih bertegas mahu melihat hudud dilaksanakan.

Menurutnya, MCA dan parti komponen BN yang lain juga kekal dalam perikatan itu walaupun mereka membantah hudud tetapi sebahagian MP Umno sudah mula menyokongnya.

Menurutnya, beliau mahu melihat Umno 'menendang keluar' MCA dari BN terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan mengenai pendirian hudud PAS dalam Pakatan Rakyat dibuat.

"Saya masih menunggu bila Umno hendak terajang MCA keluar dari BN," katanya.

Tiada ulasan: