Satiful Bahri  
Satiful Bahri


KUALA TERENGGANU - Pas meminta Menteri Besar baharu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman mengkaji semula beberapa projek pembangunan di negeri ini yang dilihat membazir dan tidak memberi manfaat kepada rakyat.

Pesuruhjaya Pas Terengganu, Satiful Bahri Mamat berkata, tiga projek yang dianggap membazir adalah kawasan bebas cukai di Tasik Kenyir, fasa kedua Taman Rekreasi dan Mini Zoo Kemaman dan projek perlombongan bijih besi di Dungun.

“Selain itu, kita juga minta MB baru membatalkan atau menangguhkan kenaikan cukai pintu di kawasan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) kerana 600 peratus itu terlalu tinggi, permintaan ini demi kepentingan rakyat,” katanya, semalam.

Pada sidang media sama, Satiful Bahri turut mengucapkan tahniah kepada Ahmad Razif atas pelantikan beliau sebagai menteri besar baharu menggantikan Datuk Seri Ahmad Said.

Beliau berkata, Pas Terengganu berharap Adun Seberang Takir itu dapat melaksanakan amanah dan tanggungjawab memimpin negeri ini dengan baik.

“Kita sebagai pembangkang akan sentiasa membuat teguran-teguran membina sama ada dalam sidang Dun atau sebagainya,” katanya.

Ahmad Razif, 49, mengangkat sumpah jawatan itu di hadapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah di sini pada jam 9.18 malam, Isnin lalu.

Beliau yang merupakan lulusan Sarjana Sains dalam Bimbingan dan Kaunseling dari  Universiti Putra Malaysia, pernah menyandang jawatan Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia.

Beliau juga menjadi Ketua Penerangan Umno Terengganu pada penggal lepas.