KUALA TERENGGANU – Pas Terengganu menghantar 100 petugas ke Bukit Gelugor bagi membantu kempen calon DAP, Ramkarpal Singh, 38, pada PRK kawasan Parlimen itu, 25 Mei ini.
Pengarah Pilihan raya Pas negeri, Ariffin Deraman berkata, petugas tersebut mula berada di Parlimen itu sejak hari penamaan calon, 12 Mei lalu dan akan bergerak pulang selepas selesai PRK.
Menurutnya, pihaknya tidak mempunyai masalah melaksanakan kempen di sana dan Pas Terengganu diamanahkan menjaga peti undi Bukit Gelugor iaitu kawasan majoriti pengundi Melayu.
“Walaupun BN tidak bertanding, kita tetap berkempen seperti biasa dan sambutan diterima sangat baik. Kita percaya Ramkarpal mampu mempertahankan kerusi mendiang bapanya,” katanya.
Pilihan raya itu diadakan ekoran kematian penyandangnya Karpal Singh pada 17 April lalu akibat kemalangan jalan raya.
Pada PRU lalu, tokoh DAP itu menang dengan majoriti besar 41,778 mengalahkan lawannya daripada BN Teh Beng Yeam.
PRK Parlimen Bukit Gelugor pada 25 Mei ini bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon DAP, Parti Cinta Malaysia (PCM) dan dua calon Bebas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan