Isnin, 26 Mei 2014

Najib bangga meskipun Malaysia tewas dalam Piala Thomas

THE MALAYSIAN INSIDER

 
Lee Chong Wei mengembalikan pukulan kepada Kenichi Tago dalam acara perseorangan lelaki dalam kejohanan Piala Thomas di New Delhi semalam. – Gambar Reuters, 26 Mei, 2014.Lee Chong Wei mengembalikan pukulan kepada Kenichi Tago dalam acara perseorangan lelaki dalam kejohanan Piala Thomas di New Delhi semalam. – Gambar Reuters.


Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa bangga dengan pasukan badminton negara yang berjaya menyatukan rakyat Malaysia meskipun gagal menamatkan penantian 22 tahun negara untuk menjulang Piala Thomas.

"Kita tetap bersatu dalam kemenangan mahupun kekalahan. Saya bangga dengan pasukan #PialaThomas negara. Kita cuba lagi dan tahniah kepada Jepun," kata Perdana Menteri dalam catatan di laman Twitter semalam.

Malaysia tewas 2-3 kepada pasukan Jepun pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Piala Thomas 2014 di Stadium Tertutup Siri Fort di New Delhi, India semalam.

Sementara itu, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, ketika dihubungi penyampai berita sukan TV1 RTM Jasni Shafie, menyifatkan nasib tidak menyebelahi pasukan Malaysia walaupun mereka bermain bersungguh-sungguh untuk memenangi piala berkenaan.

Perdana menteri meraikan pemain negara dalam tweetnya semalam. – Gambar diambil dari Twitter, 26 Mei, 2014. Perdana menteri meraikan pemain negara dalam tweetnya semalam. – Gambar diambil dari Twitter. Rosmah, yang juga Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), berkata beliau berasa bangga kerana pemain Malaysia bermain bermati-matian, terutama pemain perseorangan terakhir Daren Liew.

"Apapun kita tidak putus asa. Saya rasa rakyat Malaysia setuju dengan saya. Mereka bermain dengan baik dan bersungguh-sungguh. Kita tunggu empat tahun lagi dan cuba dapatkan Piala Thomas untuk Malaysia, Insyaallah," katanya.

Ditanya sama ada perdana menteri turut menonton siaran langsung perlawanan itu bersama beliau, Rosmah berkata mereka sekeluarga sempat menonton pusingan awal perlawanan akhir berkenaan sebelum Najib perlu menghadiri satu acara di luar.

"Saya patut iringi beliau... saya sudah sikat rambut dan pakai baju tetapi apabila tengok ada peluang (untuk menang), saya tunggu lagi.

"Akhir sekali Datuk (Najib) telefon cakap tidak payah pergi sebab diapun sudah hendak balik,"
katanya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan turut merakam ucapan tahniah kepada pasukan Malaysia kerana menunjukkan semangat yang juang tinggi.

"Saya berbangga dan saya pasti seluruh rakyat Malaysia juga turut berasa bangga dengan semangat juang tinggi yang ditunjukkan pasukan Malaysia pada malam ini. Mereka bertarung habis-habisan walaupun tidak dapat merangkul Piala Thomas," katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang memberi semangat dan sokongan jitu kepada pasukan negara.

"Insyaallah, dengan usaha dan sokongan berterusan, saya percaya kejayaan akan menanti kita dan harapan untuk membawa kembali Piala Thomas akan menjadi satu kenyataan tidak lama lagi," katanya.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir pula mengucapkan tahniah kepada pasukan Malaysia.

"Walaupun tidak berjaya bawa pulang #ThomasCup2014 tetapi kami tetap berbangga. Omedetou Nippon!" katanya. – Bernama,

Tiada ulasan: