Mohd Shafie Apdal  
Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal


KUALA LUMPUR - Majlis Amanah Rakyat (Mara) berhasrat menempatkan pelajar jurusan sains dan teknologi maklumat tajaannya ke universiti tersohor Stanford University di Amerika Syarikat buat kali pertama tidak lama lagi.
  
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata perbincangan mengenai perkara itu telah diadakan bagi mempermudahkan proses kemasukan memandangkan belum terdapat pelajar tajaan Mara ditempatkan di universiti tersebut.
  
"Kita tanya bagaimana proses untuk mempermudahkan penempatan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan adakah mereka iktiraf sistem transfer kredit kita.
  
"Kita telah pelawa mereka datang Malaysia dan lihat bagaimana institusi pembelajaran dan pengurusan di Mara. Bagi saya tiada masalah kerana dahulu kita pernah berbincang dengan wakil Cambridge University (Amerika Syarikat) untuk kemasukan pelajar kita," katanya.
  
Beliau berkata demikian dalam sidang media secara maya dari Amerika Syarikat di pejabat Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohd Shafie dan delegasi Mara sedang dalam rangka lawatan kerja ke Amerika Syarikat selama enam hari bermula Khamis lalu yang antara lain mahu mencari titik pertemuan dengan pemain industri pengajian tinggi seperti Stanford University di California dan pemain teknologi maklumat Amerika Syarikat.
  
Lawatan juga bertujuan mencari peluang untuk mengembangkan operasi Mara di dalam dan luar negara membabitkan pelajar dan usahawan supaya boleh diguna pakai dalam mengisi keperluan industri negara. - Bernama