Khamis, 15 Mei 2014

Khalid menang ‘percuma’ di Kuala Selangor


Bekas ahli parlimen Kapar S Manikavasagam yang mencabar jawatan ketua cabang digantung keahliannya serta-merta kerana melanggar tatetika pemilihan parti.

Khalid Ibrahim


PETALING JAYA: Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim mendapat laluan mudah mempertahankan jawatan Ketua Cabang PKR Kuala Selangor apabila pencabarnya S Manikavasagam hilang kelayakan bertanding.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Datuk Dr Tan Kee Kwong dalam satu kenyataan hari ini berkata bekas ahli parlimen Kapar itu didapati melanggar Perkara B.7 Tataetika Pemilihan PKR iaitu “Sebarang perselisihan berkaitan dengan pemilihan parti dilarang sama sekali dibawa kepada media atau dihebahkan kepada umum.”

“Beliau telah membuat kenyataan media yang mendakwa Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah melakukan politik wang bagi pemilihan cabang Kuala Selangor. Kenyataan ini telah disiar dalam berita TV1 dan Buletin Utama TV3 pada 11 Mei 2014, dan dalam muka serat 6 akhbar Utusan Malaysia pada 12 Mei 2014.

“Saudara S Manikavasagam akan diberi surat tunjuk sebab dan digantung keanggotaan parti serta-merta sehingga siasatan selesai,” kata Kee Kwong.

Pengundian cabang Kuala Selangor yang belangsung 11 Mei lalu ditangguhkan ekoran terdapat bantahan dari calon yang bertanding termasuk dakwaan terdapat calon yang menandakan kertas pengundi lain.

Manikavasagam turut mendakwa beliau memiliki rakaman video yang menunjukkan Abdul Khalid, melalui pegawainya, membayar sehingga RM50 untuk membeli undi.

Khalid melalui peguamnya, telah mengarahkan Manikavasagam untuk menarik balik kenyataan ataupun berdepan tindakan undang-undang.

V Bobinath juga digantung

Selain dari Manikavasagam, V Bobinath yang bertanding jawatan Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) di cabang yang sama turut digantung keanggotaan parti kerana melanggar peraturan yang sama dengan Manikavasagam.

Pegawai kanan Khalid, Mustapha Mohd Talib turut digantung keahliannya kerana membuat satu ugutan kepada pembantu khas Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati untuk menamatkan khidmat Manikavasagam sebagai penyelaras DUN tersebut.

Tiga lagi ahli, Monniza @ Sarimah Abdul Ghani (Kampar), Md Yusop Kamaruddin (Pasir Salak), Ahmad Jufliz Datuk Faiza (Setiawangsa) turut diambil tindakan yang sama atas melanggar perkara B.7 Tataetika Pemilihan PKR itu.

Calon Ketua Cabang Hulu Selangor K Gunasekaran digantung keahliannya kerana melanggar perkara B.6 iaitu “mana-mana calon atau penyokongnya adalah dilarang dari menganggu sebarang proses dan acara pemilihan parti” kerana didapati bersama beberapa penyokongnya bertindak agresif dengan merempuh pintu masuk dewan pengundian Cabang Hulu Selangor bagi menghentikan proses kiraan kertas undi.

Sementara itu, calon Noor Azman Samsuri digantung keahliannya kerana menipu tandatangan ahli lain bagi mencalonkan dirinya sebagai ketua cabang Tanjung Karang.

Kesemua mereka digantung keanggotaan parti serta-merta sehingga siasatan selesai. Keputusan ini dibuat dalam satu mesyuarat Biro Politik PKR malam semalam yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden PKR Azmin Ali.

Tiada ulasan: