Oleh Ng Kee Seng
Jika presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong pernah mempunyai apa-apa peluang bagi merampas Teluk Intan bagi Barisan Nasional (BN), dia sedang kehilangannya. ‘Terima kasih’ kepada Umno, kemungkinan Mah mendapatkan kemenangan sedang direnggut oleh taktik serangan peribadi kolot yang dilontarkan kepada calon DAP, seorang peguam berusia 28 tahun bernama Dyana Sofya.
Tidak syak lagi Umno tidak mempunyai pemimpin yang boleh dipercayai, tetapi mempunyai golongan seperti ketua wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Jalil, dan ahli Umno lain yang melontarkan serangan peribadi hanyalah ibarat tindakan bunuh diri politik.
Apabila Umno melancarkan "serangan bikini" terhadap Dyana, peguam muda ini memaparkan kematangan dalam reaksinya.
Beliau berjenaka: "Saya hanya boleh berharap untuk memiliki badan secantik itu"
“Pahlawan kekunci” Umno telah memanipulasi gambar seorang personaliti
Filipina berbikini bagi mempersoalkan kedudukan Dyana sebagai seorang
penganut Islam di Facebook.
Sekarang, Wanita Umno dan pemimpin Umno telah mengamuk dan menggelarkan
Dyana bodoh kerana membenarkan dirinya dipergunakan oleh DAP.
Serangan seperti itu pasti tidak akan diterima baik oleh kebanyakan
pengundi. Lihat di mana pemimpin muda wanita DAP hari ini berbanding
Puteri Umno?
Dyana menulis: "Saya
gelihati yang pencalonan saya oleh DAP dalam pilihan raya kecil kerusi
Parlimen Teluk Intan telah menaikkan marah Wanita dan Puteri UMNO.
"Kenyataan ketua Wanita UMNO, Shahrizat Jalil bahawa pencalonan saya
hanyalah sebuah persembahan oleh DAP, menunjukkan kegagalan Wanita UMNO
dalam menggalakkan ahli mereka sendiri ke jawatan kepimpinan parti dan
kerajaan.
"Shahrizat Jalil telah
sebaliknya memperkecilkan saya dan DAP, daripada menyambut baik
keberanian dan kesungguhan politik DAP dalam memberi peluang kepada
saya, seorang wanita Melayu muda, untuk bertanding di sebuah kawasan
yang secara tradisinya ditandingi wakil BN kaum Cina.
"Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, “Kita semua tahu perjuangan
DAP yang sebenarnya dan sebenarnya, saya amat kesian kepada Dyana
Sofya yang sanggup membiarkan dirinya diperalatkan”.
"Ini adalah contoh terbaik sikap negatif pemimpin wanita BN yang sentiasa merompak peluang wanita untuk menerajui negara ini.
"DAP menghargai wanita, tua dan muda, kerana menyedari bahawa wanita
perlu mengambil peranan yang lebih besar dalam kerajaan kita bagi
membawa keseimbangan yang amat diperlukan dalam jumlah wakil lelaki dan
perempuan, dan mereka melakukannya dengan berani menamakan lebih banyak
calon wanita dalam setiap pilihan raya.
"Peranan wanita dalam politik tidak harus terhad kepada pelengkap,
menghidangkan makanan dan minuman kepada pekerja parti dan melawat
pengundi di rumah-rumah mereka bagi mengedarkan buah tangan.
"Saya telah berada dalam parti itu cukup lama untuk melihat sendiri
bahawa parti itu menghargai keupayaan individu dan watak dalam
melaksanakan konsep meritokrasi, dan bukannya bangsa, agama, kawasan
atau jantina.
"DAP telah
mempromosikan calon-calon muda tanpa mengira kaum dalam pilihan raya
secara konsisten – seperti Teo Nie Ching dan Liew Chin Tong pada tahun
2008, Zairil Khir Johari, Kasthuri Patto dan Alice Lau pada tahun 2013,
dan banyak lagi."
Dyana menambah:
"Shahrizat Jalil juga berkata bahawa Umno layak menerima pujian untuk
siapa saya hari ini. Ini adalah bertentangan sepenuhnya dengan
kenyataan awal beliau dengan mengatakan bahawa pencalonan saya adalah
pertunjukan semata-mata. Saya meminta dia belajar dari ibu saya yang
merupakan ahli Umno, tetapi menyedari bahawa pencalonan saya oleh DAP
menandakan kejayaan bagi golongan wanita muda dalam politik, terutama
bagi wanita Melayu muda, yang telah lama dikekang oleh ketiadaan ruang
dan struktur patriarki Umno.
"Saya
ada di sini hari ini disebabkan keluarga dan ibu saya, disebabkan kerja
keras dan kepada keputusan peribadi yang saya buat sepanjang hidup
saya. Saya gembira bahawa saya memilih untuk menyertai DAP pada tahun
2011. Kerana jika saya telah memilih jalan Shahrizat Jalil dan Umno,
saya tidak akan berada di sini hari ini, dengan sasaran memasuki
Parlimen sebagai wakil bagi penduduk Teluk Intan dan jika dipilih, untuk
menjadi ahli parlimen yang paling muda di Parlimen.
"Datuk Shahrizat Jalil dan Puteri Umno tidak seharusnya memperkecilkan
kepintaran saya dan keupayaan saya untuk membezakan antara BN yang
melindungi kepentingan golongan yang kaya dan berkuasa, dan DAP yang
melindungi hak-hak rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama atau
kepercayaan.
"Parti itu telah
mencalonkan saya kerana saya sangat percaya kepada cita-cita keadilan,
peluang saksama, tadbir urus yang baik. Saya berterima kasih kepada DAP
di atas amanah dan penghormatan ini, dan saya berjanji akan
menjalankan kempen yang bersih, jujur dan berani bagi memenangi hak
untuk mewakili penduduk Teluk Intan di Parlimen. "
Adakah anda hairan mengapa Dyana adalah setiausaha politik kepada supremo DAP dan Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang?
Jawapan beliau kepada serangan peribadi dan perkauman oleh Umno
menunjukkan yang dia lebih matang daripada ahli-ahli politik dan
pemimpin dinosaur dalam BN.
Bagi
Mah, seorang presiden Gerakan pasca-2013 yang telah mengemudi parti itu
ke jalan transformasi yang benar bagi menangani isu-isu hudud dan
kalimah "Allah” secara proaktif, sudah tentu makin kehilangan peluang
ini disebabkan Umno.
Mah, adakah anda fikir yang Umno sedang membantu kempen anda di Teluk Intan setakat ini?
- See more at: http://bm.theantdaily.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan