Khamis, 15 Mei 2014

Kami memang tak percaya pada Ahmad Said, kata Hanafiah

Pas tidak mahu bergantung kepada ADUN lompat
Hanafiah

PETALING JAYA: Dakwaan yang mengatakan PAS telah mempelawa bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said untuk menyertai parti tersebut telah dinafikan oleh Satiful Bahri Mamat, Pesuruhjaya PAS Terengganu.

“ PAS konsisten dari awal. Pemilihan kerajaan harus dilakukan oleh rakyat dengan mengadakan pilihan raya negeri. Kita nafi apa yang disebut oleh Ahmad Said, kami tak pernah pelawa dia,” tegasnya.

Sehubungan itu, Satiful menyifatkan Ahmad Said sebagai liabiliti, malahan PAS tidak pernah berharap agar Ahmad Said menyertai mereka.

“PAS telah membuat pendirian tidak mahu bergantung kepada ADUN lompat jika berpeluang membentuk kerajaan”, katanya

Ahmad Said mendakwa dipelawa oleh beberapa ahli PAS memujuknya menyertai parti itu selepas beliau mengumumkan keluar Umno.

Ahmad Said ( ADUN Kijal), Ghazali Taib (ADUN Ajil) dan Roslee Daud (ADUN Bukit Besi) antara tiga ADUN BN yang bertindak keluar daripada Umno sejurus selepas perlantikan Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman sebagai menteri besar baharu.

Akan tetapi, mereka telah mengumumkan untuk menyertai Umno semula sekaligus menamatkan pergolakan politik di Terengganu.

Kedudukan kerusi berubah seketika apabila Pakatan Rakyat memiliki (15), BN (14) dan Bebas (3).

Sementara itu ADUN Chukai, Hanafiah Mat (gambar)  mengesahkan Ahmad Said menghantar Bendahari Umno Bahagian Kemaman, Abdul Sidek (Haji Dol) untuk berunding kerajaan kerajaan campuran dengan PAS kerana bekas Menteri Besar itu mendakwa enam orang Exco akan keluar dari Umno.

Sebaliknya tiga orang sahaja yang keluar dan tiga lagi menafikannya iaitu Datuk Mohd Jidin Shafie (Permaisuri), Nawi Mohamad (Hulu Besut) dan Ir Rosli Othman (Kemasik).

“PAS Terengganu buat mesyuarat tergempar tetapi kami buat keputusan mahu jumpa Ahmad Said sendiri secara empat mata, tak nak melalui orang perantaraan iaitu Haji Dol,” dedahnya kepada FMT.

“Kami memang tak mahu kerajaan campuran dengan kumpulan Ahmad Said kerana kami sendiri tak percayainya. Setia usaha Umno Bahagian Kemaman, Rosli Ahmad beritahu kami bahawa Ahmad Said nak jumpa PAS selepas selesai majlis perkahwinan anaknya pada 17 Mei.” dakwanya lagi.

Hanafiah berkata memang PAS tak pelahap nak bentuk kerajaan negeri secara lompatan ADUN.

“Sebab itu kami tak hairan dia masuk semula Umno kerana Ahmad Said gagal tarik enam Exco menjadi ADUN Bebas,” katanya lagi.

Beliau mendakwa Ahmad Said mahu kekal jadi menteri besar dan mencadangkan kerajaan campuran dengan bilangan Exco yang seimbang lima orang ADUN PAS dan lima orang ADUN Bebas.

Tiada ulasan: