Sabtu, 3 Mei 2014

JAIS diarah lengkapkan laporan kes kematian pelajar

Lizawati Madfa

 
SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) diarah menyediakan laporan lengkap berhubung kematian seorang pelajar Sekolah Menengah Agama Rawang, 30 April lalu.

Exco Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa, Sallehin Mukhyi (gambar) berkata sekolah milik kerajaan negeri itu diurus dan ditadbir Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

“Kita mahu laporan lengkap dan terperinci berhubung insiden ini serta cadangan berhubung langkah-langkah bagi membendung gejala gaduh ini daripada berulang.

“Kerajaan Negeri juga mengucapkan takziah pada keluarga mangsa,” katanya dalam satu sidang media.

Pelajar berkenaan dikatakan bergaduh bersama seorang rakan kira-kira jam 11.30 malam dan dikatakan berpunca daripada kehilangan kiub puzzle.

Ketika disedari warden asrama, pelajar itu bagaimanapun didakwa sudah tidak disedarkan diri dan terus dikejarkan ke Hospital Selayang.

Beliau bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada jam 1.24 pagi  dan keluarganya sudah dimaklumkan.

Pihak polis masih menyiasat punca kematian selain menyiasat sama ada terdapat sebarang unsur jenayah.

Tiada ulasan: