Isnin, 19 Mei 2014

Jadikan PRK Teluk Intan referendum rakyat

MUHAMMAD FAIZAL






TELUK INTAN: PAS menyatakan pendirian untuk memberi sokongan sepenuhnya kepada DAP bagi memastikan parti itu memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan pada 31 Mei nanti.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu pada program pelancaran jentera Pakatan Rakyat menyatakan PAS akan mengerahkan seluruh jentera dari semua peringkat bagi membantu DAP mengekalkan kemenangan di kerusi Teluk Intan.

"Kami dari PAS akan bekerja kuat seperti kita yang bertanding, kita kerah seluruh tenaga untuk membantu DAP mengekalkan kerusi yang dimenangi sebelum ini.

"Di peringkat pusat mahupun negeri dan kawasan ini sendiri, kita akan bergabung bagi memastikan rakan kita DAP menang dan ini janji kita," ucap beliau.

Tambah beliau lagi, PRK kali ini perlu dijadikan satu referendum rakyat dalam membantah penyelewengan yang berlaku di negara ini terutamanya dalam soal ketirisan dan pembaziran.

"Kita kena jadikan PRK ini sebagai permulaan baru untuk kita mengambilalih Putrajaya, kita tahu BN melawan kita bukan dengan cara berhujah.

"Mereka akan guna pelbagai muslihat serta tuduhan, tetapi saya yakin pengundi Teluk Intan khususnya Melayu mulai sedar apa yang BN lakukan selama ini, mereka akan buat perubahan," sambung beliau lagi.

Mohamad yang turut menyatakan, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang juga meminta agar semua ahli PAS tampil memberi sokongan dan memenangkan calon DAP.

Pada PRK Parlimen Teluk Intan, DAP telah meletakkan calon Melayu, Dyana Sofya Mohd Daud bagi mewakili parti itu yang akan menentang calon Gerakan dari BN pada 31 Mei nanti.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali memberitahu beliau kagum dengan keberanian DAP dalam membuat keputusan meletakkan calon Melayu pada PRK kali ini.

"Ini bukti yang dibawa DAP, calon yang mewakili semua masyarakat Malaysia, siapa kata DAP itu politik perkauman.

"Walaupun masih muda, tetapi Dyana mempunyai prinsip berani melawan Umno, beliau dikatakan pengkhianat Melayu tetapi itu tidak mematahkan semangat beliau dan ini yang kita mahu.

"Kita mahu pemimpin yang ada pendirian bukannya pemimpin yang tahu mengangguk kepala dan takut untuk membantah," ucap beliau di Kampung Bahagia.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Gombak turut memberitahu PKR akan turut sama dalam kempen PRK kali ini bagi memastikan calon DAP berada di parlimen dan turut sama menentang dasar-dasar kerajaan yang menindas rakyat.


Share on Myspace

Tiada ulasan: