Selasa, 20 Mei 2014

Hudud: Ikram perhebat penerangan untuk bukan Islam

HARAKAHDAILY 



Dr Mujahid (tiga dari kiri) dalam forum hudud di Seremban.


SEREMBAN: Bagi memberikan gambaran sebenar tentang hukum jenayah syariah khususnya hudud, satu forum berhubung topik tersebut telah diadakan dewan kuliah Sekolah Chung Hwa, dekat sini.
Forum anjuran gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Negeri Sembilan yang diterajui Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) dan Dewan Himpunan Cina Negeri Sembilan itu membariskan lima ahli panel.

Panelis ialah Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof, aktivis hak asasi manusia, Malik Imtiyaz Sarwar, Haris Ibrahim dan Wong Kong Fatt serta aktivis Islam, Zaid Kamarudin.

Dr Badlishah Sham dari Ikram Negeri Sembilan bertindak sebagai moderator.

Pada sesi soal jawab, Dr Mujahid menerima pelbagai pertanyaan daripada peserta yang majoritinya bukan Islam berhubung hasrat PAS Kelantan untuk melaksanakan hukum jenayah syariah.

Menurut beliau, PAS bersedia untuk dikritik apabila isu pelaksanaan hudud menjadi perdebatan dalam jalur demokrasi.

Dr Mujahid malah menegaskan bahawa membincangkan perundangan hudud oleh bukan Islam tidak semestinya bererti  menentang Islam.

PAS ujarnya bersedia menerima kritikan dengan berlapang dada.

"Banyak soalan diajukan dan kesemua peserta berpuas hati dengan jawapan yang diberikan.
"Perbincangan terbuka dapat memastikan perbahasan hudud tidak dikuasai hanya sentimen dan emosi," ujar beliau.

Menurutnya, gabungan NGO diterajui Ikram berhasrat menganjurkan 'road show' di seluruh negara bagi membolehkan masyarakat mendapat peluang mendengar berbagai pandangan berhubung pelaksanaan hukum jenayah syariah di negara ini.-

Tiada ulasan: