Jumaat, 16 Mei 2014

Hudud: Calon bebas mahu jemput Harussani, LGE

MALAYSIAKINI



 


Calon Bebas Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abdul Sathar, 63, hari ini melancarkan manifestonya untuk pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor dengan memberi tumpuan kepada pembangunan orang Melayu.
  
Dalam manifesto itu, beliau berjanji untuk meneruskan agenda pembangunan di kawasan Parlimen Bukit Gelugor bagi semua golongan terutama kaum Melayu yang dipinggirkan.
  
"Selain itu saya juga akan memberikan fokus kepada peningkatan kualiti kehidupan penduduk Islam dalam Parlimen Bukit Gelugor," kata Mohamed Nabi Bux kepada pemberita pada majlis pelancaran manifestonya di George Town.
  
Perkara ketiga dalam manifesto Mohamed Nabi Bux ialah memberi keutamaan kepada penyediaan peluang pekerjaan, latihan kemahiran untuk golongan belia terutama kaum Melayu dan tidak meminggirkan kaum lain.
  
Seterusnya beliau mahu menambah suara serta undi Melayu dalam Parlimen dan yang terakhir ialah menjadikan Parlimen Bukit Gelugor kawasan petempatan yang selesa dan moden selaras dengan pembangunan teknologi.
  
Mohamed Nabi Bux berkata beliau akan mengadakan ceramah penerangan bertajuk 'Apa itu Hudud' kepada penduduk negeri ini di Padang Kota Lama, bagaimanapun beliau belum menetapkan tarikh dan masa ceramah itu.
  
Di majlis itu, beliau bercadang menjemput Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din.

"Saya juga akan menjemput Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pada penerangan itu nanti... saya menggunakan media untuk menjemput semua tetamu saya itu," katanya.
  
Mohamed Nabi Bux turut menegaskan bahawa beliau masih anggota PAS dan mendakwa bahawa ada pihak yang telah memalsukan maklumat dirinya kononnya beliau ahli Umno.
  
Dalam pilihan raya kecil 25 Mei ini, Mohamed Nabi Bux akan berdepan Ramkarpal Singh Deo daripada DAP, Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) Datuk Huan Cheng Guan dan seorang lagi calon Bebas Abu Backer Sidek Mohamad Zan.
  
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Karpal Singh dalam kemalangan jalan raya pada 17 April lepas. Pada pilihan raya umum 2013, Karpal Singh memenangi kerusi itu dengan majoriti 42,706  undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Teh Beng Yeam, yang memperoleh 13,597 undi.   - Bernama

Tiada ulasan: