PRK Teluk Intan  
PRK Teluk Intan


SHAH ALAM - BN berpeluang merampas kembali kerusi Parlimen Teluk Intan daripada DAP jika parti itu menggunakan pendekatan betul yang boleh meyakinkan pengundi di kawasan tersebut.

Pensyarah Fakulti Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Terknologi Mara (UiTM), Prof. Madya Dr Shaharuddin Badaruddin berkata, tidak mustahil kerusi tersebut kembali ke pangkuan BN memandangkan Teluk Intan pernah disandang parti itu sejak 1999 lagi.

"Hakikatnya Teluk Intan pernah dimiliki BN pada 1999, 2004 dan 2008, tetapi adakah pengundinya itu boleh membuat peralihan undi dalam tempoh setahun ini.

"Sukar (dirampas) kerana ia bergantung kepada usaha BN bagi menampakkan DAP tidak digemari langsung di kalangan orang Cina dan jika berlaku maka bertukarlah kedudukan itu," katanya kepada Sinar Harian Online.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas lanjut kenyataan Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pada minggu lalu yang mengatakan BN mempunyai peluang untuk merampas kerusi Parlimen Teluk Intan berikutan aliran sokongan semasa yang ditunjukkan pada beberapa PRK sebelum ini.

Shahrizat berkata, jentera BN perlu bekerja dengan lebih keras, gigih dan penuh disiplin bagi memastikan ia boleh dilakukan.

Mengulas lanjut, penganalisis politik bagaimanapun mengingatkan BN supaya tidak dengan menyerang calon tetapi perlu memfokuskan kelemahan parti lawan termasuk pergolakan DAP dengan rakan komponen PR sepanjang tempoh berkempen ini.

"Kita ada seminggu lebih, banyak isu cuma strategi tidak kena kerana serangan peribadi terhadap calon DAP banyak dilakukan.

"Sepatutnya diketengahkan ialah calon itu sendiri iaitu BN dan jika serangan peribadi dibuat secara berleluasa, akhirnya akan berlaku backlash dari segi politik," katanya lagi.