Ahad, 18 Mei 2014

Dyana temui petugas pilihan raya PAS

HARAKAHDAILY 


TELUK INTAN: Tanpa mahu membuang masa, calon DAP bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan,  Dyana Sofya Mohd Daud memulakan gerakan prakempen pilihan raya dengan bertemu para petugas Pakatan Rakyat.

Malam tadi, peguam lulusan Universiti Teknologi Mara berusia 27 tahun itu bertemu dengan para petugas jentera pilihan raya PAS Teluk Intan bagi memperkenalkan diri.

Pertemuan berlangsung di Markas Induk PRK PAS Kawasan Teluk Intan di kampung Padang Tembak, dekat sini.

Hadir sama dalam pertemuan itu Ketua Penerangan PAS Perak, Ustaz Misbahul Munir Masduki, Yang Dipertua PAS Kawasan Teluk Intan, Ustaz Ismail Nie dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Changkat Jong, Anuar Sudin.

Dyana yang berbaju kurung dan berselendang hitam mengucapkan terima kasih di atas kehadiran dan sokongan yang ditunjukkan para aktivis PAS terhadap beliau.

Berjanji untuk terus memperjuangkan suara rakyat, beliau berikrar memberikan khidmat terbaik jika terpilih mewakili Teluk Intan ke Parlimen.

Dyana turut menghormati PAS yang dianggap sebagai parti yang telah lama berjuang untuk rakyat dan mempunyai ahli-ahli yang komited dengan perjuangan.

Sementara itu ketika dihubungi Harakah, Ustaz Misbahul Munir berkata majlis perisytiharan calon PRK Teluk Intan akan berlangsung di padang awam Kampung Bahagia, Padang Tembak, malam ini.

Para pemimpin Pakatan Rakyat yang dijangka hadir ialah Penasihat DAP Lim Kit Siang, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa dan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

Pencalonan Dyana diumumkan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng di pusat gerakan pilihan raya kecil DAP di Bandar Baru Teluk Intan, semalam.

Dyana Sofya ialah Setiausaha Politik Kit Siang dan berasal dari Ipoh.

Beliau menyertai DAP pada 2012 dan membantu kempen Kit Siang dalam pilihan raya umum ke-13 di Gelang Patah.

PRK Parlimen Teluk Intan diadakan berikutan kematian penyandangnya Seah Leong Peng, 58, daripada DAP pada 1 Mei lepas.

Penamaan calon PRK Teluk Intan akan diadakan esok.

Dalam pilihan raya umum ke-13, Seah, 48, menewaskan calon BN, Datuk Mah Siew Keong dan calon bebas Moralingam Kannan dengan majoriti 7,313 undi.

Parlimen Teluk Intan mempunyai komposisi pengundi yang hampir seimbang iaitu 42 peratus pengundi Cina, Melayu (38 peratus) dan India (19 peratus).

Dyana akan dicabar Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong yang mewakili BN dalam PRK kali ini.

Mah, 53 ialah penyandang kerusi Parlimen Teluk Intan selama dua penggal iaitu pada PRU 1999 dan 2004. -


Dyana berucap dalam pertemuan dengan petugas pilihan raya PAS di Markas Induk PRK Teluk Intan.

Tiada ulasan: