Rabu, 21 Mei 2014

Di Teluk Intan, pilihan raya belum berakhir, Umno sudah dimalukan



Oleh Md Izwan


Pilihan raya kecil di Teluk Intan menyaksikan beberapa perkara ganjil timbul, puncanya hanya kerana calon bekas graduan UiTM daripada DAP melawan kuda tua Gerakan.Lebih ganjil ialah walaupun bukan Umno yang bertanding kali ini, tetapi parti Melayu konservatif tersebut pasti akan menerima kesan yang teruk.

Kebimbangan akan dimalukan terserlah apabila Umno mula membidas calon DAP tersebut sebagai pengkhianat.

Bahkan bukan sahaja calon sahaja jadi mangsa tapi ibunya yang juga ahli Umno menerima kesan sama, parti itu mahu pecat keahliannya.

Mengapa saya kata Umno terasa mereka dimalukan? Pening kepala orang Umno hendak memikirkannya, keluarga totok Umno tapi anak calon DAP.

Puas Raja Bomoh Ibrahim Mat Zin meneropong binokular ajaibnya, tapi tidak juga dijumpai punca-puncanya.

Habis pecah air kelapa, tapi Raja Bomoh juga pening kepala.

Lebih mengganjilkan apabila Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali juga mahu gambarnya digunakan sebagai modal kempen Barisan Nasional (BN) di Teluk Intan.

Terima kasih, ia akan menambah majoriti kepada DAP.

Lagi ganjil apabila isu hukum hudud juga mula dimainkan hanya kerana calon DAP tersebut menolak pelaksanaannya.

Bukankah Gerakan juga turut sama menolak hukum hudud.

Kalau Perkasa atau Umno merasakan mereka mahu bawa isu-isu ini, kenapa tidak meletak calon sendiri di Teluk Intan. Mengapa perlu guna rakan kongsi mereka? Lagi ganjil.

Di Teluk Intan, berdasarkan bahan dan corak kempen awal, ini bukan Gerakan yang bertanding tapi lebih kepada Umno yang bertanding.

Adakah Gerakan juga akan membawa tema sama dengan Umno? Kalau dahulu parti berbilang bangsa tersebut gigih memperjuangkan kesamarataan, mungkin sudah tiba masanya mereka menunjukkan imej sebenar.

Kalau Gerakan mahu menang di Teluk Intan, bukan DAP yang sepatutnya mereka lawan. Umno adalah musuh utama Gerakan di Teluk Intan, jika mereka masih tidak sedar jangan mimpi untuk menang kali ini.

Di sinilah keganjilan pilihan raya kecil Teluk Intan, dua parti yang bertanding akan melawan satu musuh iaitu parti konservatif, Umno.

Umno patut terasa malu, asas parti mengikut dominasi kaum selama lebih 50 tahun dipecahkan sekali lagi di Teluk Intan.

Lagi malu mereka tidak meletak calon sendiri di Teluk Intan.

Bagi Gerakan, kasihan. Tetapi sekurang-kurangnya ada lagi yang sanggup berlawan secara berhemah.
Menang kalah ramai sudah boleh ramalkan, tetapi mujurlah ada sedikit perencah dalam pilihan raya di Teluk Intan.

Md Izwan adalah wartawan The Malaysian Insider. ‎Beliau berkicau di @izwan_noborders.

Tiada ulasan: