Ahad, 25 Mei 2014

Ceroboh pejabat DAP: Umno gugat amalan demokrasi

ASLANI M



 


KOTA BHARU: PAS memandang serius tindakan sekumpulan penyokong Umno menceroboh ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur baru-baru ini, yang disifatkan tidak mencerminkan semangat sebagai sebuah negara demokrasi.

Presidennya, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, tidak sepatutnya perbuatan itu berlaku biar pun mereka mahu meluahkan kemarahan kepada seorang pemimpin DAP.

“Sepatutnya mereka menggunakan saluran demokrasi dan bukannya perbuatan menceroboh DAP sehingga menyebabkan berlaku kerosakan.

“Itu langsung tidak mencerminkan amalan demokrasi dan ia tidak sepatutnya dilakukan sehingga bertindak di  luar kawalan,” katanya kepada pemberita  selepas merasmikan penutup seminar Pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II di Putik petang semalam.

Baru-baru ini sekumpulan Pemuda Umno Umno Wilayah Persekutuan dikepalai ketuanya, Mohd Razlan Mohd Rafii menceroboh ibu pejabat DAP sehingga merosakkan papan tanda di  luar pejabat terbabit.

Pada perhimpunan haram itu pemuda Umno dilaporkan mengancam mahu membakar ibu pejabat DAP. Perhimpunan tersebut dilakukan sebagai membantah kenyataan wakil rakyat DAP Seri Delima, RSN Rayer yang dilaporkan menyebut perkataan "Umno celaka".

Tuan Guru Abdul Hadi yang juga anggota parlimen Marang berkata, polis wajib bertindak bagi membendung perbuatan seumpama itu kerana ia boleh mengugat keamanan kehidupan rakyat.

Kata beliau, pihak polis perlu menjaga lunas-lunas demokrasi bagi mengelakkan perbuatan tersebut berulang lagi.

Tiada ulasan: