Datuk Seri Najib Tun Razak  
Datuk Seri Najib Tun Razak


PUTRAJAYA - Bajet 2015 bakal dibentang pada 10 Oktober ini di Parlimen, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, bajet kali ini genting memandangkan ia belanjawan paling akhir di bawah Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10).

"Bajet kali ini genting ekoran ia bajet terakhir di bawah RMK10 yang akan memberi peruntukan untuk baki program dan projek bawah RMK10.

"Bajet 2015 ini dijadual untuk pembentangan di Parlimen pada 10 Oktober 2014," katanya ketika menyampaikan ucapan aluan pada Majlis Konsultasi Bajet 2015, hari ini.

Menurutnya Majlis Konsultasi Bajet 2015 itu merupakan platform penting terhadap penyediaan Bajet 2015.

"Kerajaan akan sentiasa mengamalkan sikap terbuka dalam menerima segala pandangan dan cadangan sebagai input penyediaan Bajet 2015.

"Pandangan dan input daripada setiap pelusuk masyarakat termasuk pertubuhan-pertubuhan industri dan badan-badan bukan kerajaan akan dapat memberi gambaran yang lebih menyeluruh bagi mengatasi cabaran dan isu-isu semasa.

"Setiap isu yang dibangkitkan dan cadangan yang dikemukakan akan diberi pertimbangan sewajarnya sebagai input penyediaan Bajet 2015," katanya.

Sementara itu, beliau menyentuh bahawa kerajaan menjangka untuk mengurangkan defisit fiskal negara tahun ini.

"Kita jangka untuk kurangkan defisit fiskal negara kepada 3.5 % tahun ini dan mencapai belanjawan yang seimbang pada 2020.

"Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) telah mempertimbangkan beberapa langkah fiskal termasuk pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta rasionalisasi subsidi," katanya.