Selasa, 20 Mei 2014

Backer: Boikotlah, saya ada CNN

MALAYSIAKINI



 


Calon bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gelugor Abu Backer Sidek Mohamad Zan hampir menarik diri kerana mendakwa tidak mendapat liputan media sewajarnya.

Beliau menghabiskan masa hampir sejam di lobi Hotel Traders, Pulau Pinang hari membebel kepada wartawan kerana tidak menulis mengenai isu rakyat yang diperjuangkan olehnya.

"Saya dah merajuk dengan media. Untuk apa saya bertanding kalau tiada kebebasan media. Saya berjuang untuk isu rakyat," kata beliau di hadapan media hari ini.

Abu Backer yang juga seorang peguam bagaimanapun berkata kembali bersemangat setelah mendapat sambutan dari pengundi Cina dalam ceramah beliau semalam.

Seorang wakil media yang sudah mengekori beliau selama seminggu itu kemudiannya bertanya adakah beliau mahu diboikot dalam tempoh kempen yang tinggal seminggu lagi.

"Boikotlah. Saya ada CNN. Mereka dah lama tunggu saya," balas beliau.

'Sumpah bayar gaji dia sampai mati'

Sementara itu Abu Backer memberitahu media beliau di hotel ini untuk bertemu dengan wakil Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berikutan isu pemandu teksi Pulau Pinang yang sedang dibawa beliau.

Beliau mendakwa pemandu tersebut dimangsai oleh SPAD kerana tidak mendapat pembelaan dan jaminan dari segi pendapatan sehingga terpaksa menipu dan tidak menggunakan meter ketika mengambil penumpang.

"Saya bersumpah kalau SPAD tarik permit mereka, saya akan bayar gaji dia sampai mati," kata beliau.

PRK Bukit Gelugor dijadualkan Ahad ini diadakan ekoran kematian penyandangnya Karpal Singh pada 17 April akibat kemalangan jalan raya.

Dalam pilihan raya umum lalu, tokoh DAP itu menang dengan majoriti besar 41,778 mengalahkan lawannya daripada BN Teh Beng Yeam.

Backer menentang tiga lagi individu iaitu anak Karpal, Ramkarpal daripada DAP Naib Presiden Parti Cinta Malasia (PCM) Huan Cheng Guan dan seorang lagi calon bebas Mohamed Nabi Bux.

Tiada ulasan: