Khamis, 15 Mei 2014

Anwar akan umum tarikh pemilihan semula cabang PKR Selangor, kata Khalid

TH E MALAYSIAN INSIDER

 

























Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) akan membuat kenyataan rasmi mengenai tarikh pemilihan semula di beberapa cabang PKR Selangor yang ditangguhkan pemilihannya.

Khalid berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Biro Politik PKR yang dihadirinya malam tadi, antara lain membincangkan tata cara pengundian dan penyeragaman tempat-tempat pengundian untuk pemilihan semula cabang PKR Selangor.

"Kami membuat beberapa ketetapan dalam mesyuarat biro politik di mana hari ini atau pun esok ketua umum akan membuat kenyataan mengenai keputusan biro politik (mengenai isu pemilihan semula cabang PKR Selangor yang ditangguhkan)," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan amal sempena “Malaysia Women Marathon 2014” di Shah Alam hari ini.

Khalid berkata beliau tidak akan memberikan sebarang kenyataan terbuka mengenai isu itu, sebaliknya akan memberikan ruang kepada Anwar membuat pengumuman.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas 10 daripada 22 cabang PKR Selangor yang terpaksa mengadakan pemilihan semula berikutan bantahan pelbagai pihak berhubung perjalanan pengundian asal cabang itu Ahad lepas termasuk cabang yang ditandingi Khalid di Kuala Selangor.

Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Kapar S Manikavasagam yang juga anggota seumur hidup PKR berkata beliau tidak pasti kedudukannya dalam parti sama ada digantung ataupun dipecat ekoran kenyataannya sebelum ini.

Beliau mendakwa seorang daripada pegawai menteri besar Selangor memberi suapan sehingga RM50 kepada pengundi untuk membantu Khalid menang jawatan ketua bahagian cabang PKR Kuala Selangor.

Khalid bagaimanapun menafikan penglibatannya membeli undi untuk mendapatkan sokongan pada proses pemilihan PKR. – Bernama

Tiada ulasan: