Khamis, 15 Mei 2014

Ali Rustam Setiausaha Agung Umno yang baru?

Ramai ahli Umno kecewa cara Tengku Adnan mengendalikan proses pertukaran menteri besar Terengganu 


Ali RustamPETALING JAYA: Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam dijangka dilantik sebagai Setiausaha Agung Umno yang baru menggantikan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Menurut sumber, Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka membuat pengumuman tidak lama lagi.

Sumber itu menambah, ramai ahli Umno kecewa cara Tengku Adnan mengendalikan proses pertukaran menteri besar Terengganu yang menyebabkan beliau perlu digantikan.

Jika beliau pandai berdiplomasi dengan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, maka dua ADUN, Ghazali Taib dan Roslee Daud tidak keluar dari Umno mengikut jejak langkah ADUN Kijal itu.

Bagaimana pun semalam mereka bertiga kembali semula ke pangkuan Umno yang menyebabkan krisis Umno Terengganu selesai dalam masa 48 jam.

“Tambahan pula Tengku Adnan sibuk dengan tugas sebagai menteri, pengerusi perhubungan Umno Wilayah Persekutuan dan ahli parlimen Putrajaya yang menyebabkan beliau tidak dapat beri tumpuan sepenuh masa di ibu pejabat Umno,” kata sumber itu kepada FMT.

Ali yang tewas dalam PRU lalu kini dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) yang tidak ada kuasa eksekutif.

“Justru itu jika beliau dilantik sebagai setiausaha agung, beliau dapat beri tumpuan sepenuh masa di ibu pejabat Umno,” kata sumber itu lagi

Tiada ulasan: