Orang Setia Umno
Sebagai
“orang setia Umno”, saya amat setia pada Umno khususnya masa
kepimpinan Tun Dr Mahathir. Bagai anjing yang setia pada Tuannya saya
akan mempertahankan kepentingan Tuan saya tanpa disuruh, tanpa
diketahuinya walau dari jauh.
Sebagai anak KL, saya terlibat langsung dengan reformasi. Tapi bukan anti Mahathir, Cuma anti reformasi. Bila jalan ditutup dengan Trak FRU, saya akan mencari jalan untuk pergi lebih dekat dengan gerombolan itu untuk marah mereka disitu. Iyelah, darah muda, berani mati, umur baru 18 tahun, gelojak darah membuak-buak “berani(tidak bertempat)”, sikit pun tak gentar sepertimana saya pergi ke Jalan Klang Lama semasa kekecohan kaum.
Malahan, saya dan rakan yang sebulu menaikkan sepanduk, memakai baju Mahathir(T-Shirt Putih kualiti rendah dengan gambar Mahathir dan BN tulisan berwarna biru) semasa reformasi diadakan.
Di kedai
mamak dengan 100 reformis saya dan rakan tidak gentar untuk berbual
mengutuk Anwar dan reformis, sekuat suara dan berjam mepertahankan Umno
dan Mahathir.
Tibalah masanya PRU 10 pada tahun 1999, umur saya baru 19 tahun, saya sudah terlibat dalam semua proses pilihanraya.
Semua
tiang dalam kampung, semua simpang dalam KL, semua saya sudah panjat
untuk pasang bendera BN. Dikejar reformis, diejek, dihina demi Umno
perkara biasa. Di Pondok Panas yang panas dan bahaya pada 1999, saya
seorang sahaja yang sanggup tidur di pondok panas ditemani VCD Cetak
Rompak dan Komputer gedabak yang dibawa dari rumah. Pada masa itu, ia
amat panas kerana keADILan sedang hangat menjadi pengADIL, justeru
mereka amat agresif terhadap apa sahaja yang berlogo Umno dan BN.
Allah Maha Besar. Segala penat lelah saya siang dan malam hingga ke pagi buta, 24 jam sehari, dibayar RM50 untuk 2 minggu.
Tidak apa,
demi Mahathir dan Umno. Malangnya, bila saya mendapat tahu rakan rapat
yang tidak panjat tiang tapi hanya mengipas Ketua Cawangan mendapat
RM200 ke RM500, Ketua Cawangan pula menambah koleksi kereta dan rumah,
maka saya tidak lagi bodoh menjadi pengikut kepada ketua cawangan yang
bodoh.
Selepas
hampir 15 tahun episod reformasi berlalu, kini ramai “musuh-musuh” yang
membenci kami ahli Umno anti reformasi kerana mahu mempertahankan
Umno, malahan ada yang meludah dan mungkin mahu membunuh kami. Kini
ramai mereka sudah pulang ke pangkal jalan, sekurangya itu konotasi
simpati yang sering kita dengar.
Semalam,
saya mendapat berita dari isteri bahawa rakan sekolahnya, Mohd Fairus
Khairudin yang juga bekas reformis, bekas PKR, bekas Timbalan Ketua
Menteri Pulau Pinang kini bergelar Dato Seri Dr Mohd Fairus, seorang
ahli Umno yang kerap ke luar Negara dan juga penasihat politik kepada
pemimpin Umno. Terperanjat???
Bukan BR.
Fairuz sahaja, BR. Ezam M.Nor menang tanpa bertanding jawatan Ketua
Bahagian juga merupakan Senator dan beliau pernah mengeji Tuan kami Tun
Dr Mahathir dengan segala gelaran. Mungkin, Tun Mahathir berjiwa besar
memaafkan mereka tetapi tidak kami sebagai pengikut setia(setia
seperti anjing) kepada Tun M.
Terbaru,
Dato Seri Zahrain pula dilantik sebagai Duta ke Indonesia. Zulkifli
Nordin pula, calon import untuk kerusi Parlimen Shah Alam seolah tiada
“anjing setia” Umno di Shah Alam. Ramai lagi nama seperti Ruslan
Kassim yang masih saya ingat sebagai reformis dan yang lain.
Bila saya
menyamakan kesetiaan saya pada Tun M dan Umno seperti anjing mungkin
buruk pada kalian kerana persepsi “blok minda” muslim, tetapi, ALLAH
mencipta anjing dengan sifat mulia anjing iaitu kesetiaan paling tinggi
terhadap Tuannya.
Justeru,
saya tidak marah, cuma saya hairan dan tertanya-tanya, apakah sia-sia
menjadi setia pada Umno? Tulisan ini pasti melonjak perasaan ahli Pas,
PKR dan DAP, dan suka saya matikan dengan kenyataan cermin-cermin parti
anda, anda juga mempunyai Pengkhianat yang diangkat Pejuang dan
terbaru adalah Muhammad Taib. Malahan, Ketua Pembangkang sendiri pernah
menghina Nik Aziz dengan selipar najis(terompah).
Saya bukan
aktif politik, tapi melihat pada pejuang Umno yang aktif politik
tetapi diketepikan menjadi alasan saya untuk tidak berpuas hati dengan
kaedah politik Umno sebagai parti pemerintah.
Mungkin
benar sia-sia setia pada Umno sebagaimana Arwah Kamsan Bin Asop, Parit
Yaani, Arwah Mohd Zaman Abdul Karim, Kg Nakhoda dan ramai lagi. Jika
mereka tidak sempat dibalas jasanya oleh Umno, saya berharap Umno
belajar untuk membalas jasa ramai lagi ahli Umno yang setia seperti
anjing. Anjing walaupun jijik untuk anda lebih mulia dari berjasa
kepada golongan dubuk yang akan meninggalkan Tuan yang lemah malah akan
makan Tuannya sendiri bila lapar.
Jika Umno
tidak berminat dengan tulisan rintihan ini apatah lagi untuk berubah,
saya ucapkan tahniah dan teruskan. Kami tetap setia pada Umno tetapi
anak-anak kami akan membenci Umno yang melayan sikap setia seperti
anjing dengan menganjingkan kami sebagai anjing kurap yang hanya diberi
bantuan sisa-sisa lapahan dubuk dan juga Tuan-Tuan kami.
Hari tidak
selamanya cerah bagi dubuk, juga tidak selamanya mendung bagi kami.
Jika ditakdirkan PRU 14 Umno tewas, yang tinggal mempertahankan Umno
adalah ahli-ahli setia Umno yang mempunyai kualiti kesetiaan yang
tinggi.
Demi
Agama, Bangsa dan Negara, mungkin ahli setia Umno ini tidak kisah terus
diketepikan. Mungkin. Sebagai umat Islam yang diajar
kebertanggungjawaban dan nilai suci, adalah paling penting bagi kami
berprinsip dan berpegang pada prinsip kerana penting untuk kami
mempunyai jawapan untuk dijawab pada Allah kelak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan