Rabu, 2 Oktober 2013

TPPA dan Budaya Agenda Rahsia


Oleh Ismail Hashim Yahaya


Meskipun telah disebut berulang kali, apakah sebenarnya yang menyebabkan kerajaan Malaysia terikat dengan syarat kerahsiaan dalam perundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) ini?

Mengapakah Malaysia masih mahu turut patuh kepada syarat atau terma kerahsiaan dalam perundingan tersebut meskipun telah mengetahui implikasi TPPA kepada negara terutamanya dari segi kedaulatan yang telah dibangkitkan acap kali.

Dalam kerahsiaan yang cuba diselindungi daripada pengetahuan awam, jelas TPPA sangat sedikit berkait dengan soal perdagangan tetapi lebih kepada bidang perkhidmatan dan pelaburan serta beberapa bidang lain.

Ini adalah bidang-bidang yang gagal mencapai kata sepakat dalam rundingan perkhidmatan dan pelaburan berkaitan perdagangan dalam rundingan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA).

Apa yang dikesali dalam sektor perkhidmatan dan pelaburan, jika rundingan telah berjaya, TPPA akan membuka pasaran seluasnya untuk syarikat dari negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) yang menyertai TPPA untuk masuk ke dalam pasaran mana-mana negara anggota, sama ada untuk membuka syarikat baru atau cawangan dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.

Manakala dalam sektor perkhidmatan, TPPA akan meliputi sektor kewangan, perniagaan, telekom, utiliti, perkhidmatan profesional dan perdagangan.

Hakikatnya, bahagian terbesar dalam perundingan TPPA (yang hampir sama dengan perjanjian bilateral iaitu FTA) ialah berkait dengan aspek  perkhidmatan, pelaburan, peraturan ke atas Korporat Kaitan Kerajaan (GLC), Industri Kecil dan Sederhana (SME) dan Hak Milik Intelektual.

Ini adalah budaya agenda rahsia yang diwarisi sejak penubuhan WTO di peringkat awal pada tahun 1990-an lagi yang dikaitkan dengan rundingan Pusingan Uruguay yang ingin mencetuskan Orde Dunia Transnasional (TWO).

TWO adalah suatu aliran yang akan memantapkan lagi penguasaan pengurusan dunia negara perindustrian. Ia akan mempengaruhi bentuk dan struktur ekonomi dunia.

Apa yang menarik mengenai TWO ini ialah kecenderungan yang dipupuk negara maju berlaku di belakang tabir dan menjadi suatu budaya agenda rahsia.

Ia dirundingi menerusi wahana perdagangan berbilang hala yang bermula dengan rundingan Pusingan Uruguay di bawah Perjanjian Am Mengenai Tarif dan Perdagangan (GATT) yang kemudian digantikan dengan WTO. Dalam rundingan WTO rundingan agenda rahsia biasanya dikendalikan di dalam Green Room.

Pentadbiran Presiden  Amerika Syarikat (AS) Barrack Obama sering kali menyatakan bahawa komitmennya kepada keterbukaan kerajaan. Tidak dinafikan mengenai keterbukaan terutamanya dalam era ketelusan secara online dan sistem demokrasi. Namun, agak pelik jika diperhatikan pentadbiran Obama ingin merahsiakan kandungan TPPA iaitu perjanjian komersil paling penting dan ‘paling berahsia’ sejak penubuhan WTO.

Perjanjian dirundingi sejak 2008 lagi dan diharap dapat ditamatkan pada tahun ini.

Rundingan ke-18 telah berlangsung di Kota Kinabalu. TPPA adalah pakatan 12 negara yang merundingi perkara-perkara asas yang bukan meliputi perdagangan tetapi merangkumi aspek-aspek strategik seperti jaminan pekerjaan, kestabilan kewangan, kos perubatan, kebebasan internet dan peraturan serta undang-undang sesebuah negara.

Bahkan bekas Presiden George W Bush yang dikritik teruk dalam Perang Menentang Keganasan itu pun bersikap terbuka menyiarkan teks perundingan perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas Amerika pada 2001.

Untuk TPPA, para pegawai pentadbiran Obama secara berulang kali telah menolak permohonan Kongres AS bagi mendapatkan capaian kepada teks draf perjanjian.

Selepas desakan kongresional dan bantahan awam terhadap kerahsiaan, akhirnya pihak pentadbiran membenarkan capaian terbatas kepada segelintir anggota kongres. Namun, ia masih membiarkan orang awam dan kumpulan NGO teraba-raba dalam kegelapan dan menafikan status pemerhati yang dinikmati pada era lalu memandangkan Perlembagaan AS menyediakan hak eksklusif terhadap dasar perdagangan.

Bagaimanapun, terdapat suatu pengecualian penting kepada pembinaan tembok kerahsiaan yang tidak pernah dilakukan kerajaan AS sebelum ini iaitu  segelintir atau elit perniagaan gergasi atau kumpulan 600 ‘penasihat’ perdagangan AS yang menikmati capaian kepada segala teks TPPA dan apa yang dirundingkan itu. Dan mereka juga menjadi perunding tidak rasmi bagi pihak kerajaan.

Budaya kerahsiaan luar biasa ini tidak dapat dicapai oleh cabang legislatif dan orang awam Amerika tetapi keterbukaan luar biasa kepada elit perniagaan gergasi AS telah menimbulkan kebimbangan.

Persoalannya sekarang, mengapa Washington dan elit perniagaan AS memberikan tumpuan kepada TPPA ini?

Ini kerana skop geo-politiknya, hak kuasa dan lebih menarik lagi ialah semua undang-undang peringkat tempatan, nasional dan dasar bukan perdagangan negara penandatangan dikehendaki mematuhi atau menyesuaikan diri dengan syarat-syarat TPPA.  Jika gagal mematuhinya, negara-negara tersebut harus dikenakan tindakan contohnya sekatan ekonomi.

Menurut Majalah Third World Resurgence beberapa bab-bab yang dicadangkan itu telah dibocorkan dan ia memperlihatkan bukti sejauh manakah luasnya garapan perjanjian ini merentasi aspek-aspek yang tidak berkaitan dengan perkara-perkara ‘perdagangan’ sejati.

Daripada 29 bab yang dicadangkan mengenai TPPA ini, hanya lima berkaitan dengan isu perdagangan sejati. Kebanyakan bab lain berkait langsung dengan kehidupan rakyat.

Pada Januari 2012 di AS, perdebatan hangat meletus mengenai isu perundangan yang akan membataskan kebebasan internet. Sehubungan itu sebagai bantahan, laman sesawang Wikipedia, enjin pencari Google dan beberapa laman sesawang lain telah menggelapkan laman mereka.

Rang undang-undang tersebut, Stop Online Piracy Act (SOPA) menerima kritikan hebat di AS. Namun, korporat-korporat yang mendukung SOPA kini ingin menghidupkan semula di dalam rangkerja TPPA.

Menurut Presiden Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) Azmi Abdul Hamid, atas nama layanan adil dan saksama atau ‘fair and equitable treament’ kepada pelabur luar, sebarang undang-undang baru atau dasar  baru yang mahu dikuatkuasakan oleh Malaysia nanti,  boleh dianggap menjejaskan keuntungan pelabur, boleh dicabar dalam tribunal antarabangsa melalui pampasan dalam bentuk kewangan.

Tambahnya, undang-undang atau dasar yang mahu digubal dan dikuatkuasakan oleh negara seperti Malaysia akan disyaratkan supaya selaras dengan terma TPPA.

Menurut Azmi, ia adalah berkaitan dengan dasar sosial dan budaya seperti dasar mengutamakan Bumiputera, kawalan barangan halal-haram, peraturan mengenai produk budaya yang bertentangan dengan nilai tempatan dan keistimewaan kepada golongan orang asal yang terpinggir.

Persoalannya, semua undang-undang atau dasar yang mahu digubal ini akan tertakluk kepada terma TPPA dan jika ia menjejaskan keuntungan pelabur asing tindakan undang-undang mengenai perdagangan boleh diambil ke atas negara penandatangan.

Azmi menjelaskan negara-negara penandatangan TPPA telah bersetuju untuk membenarkan syarikat luar mengambil tindakan saman di tribunal arbitrasi antarabangsa iaitu International Center for Settlement of Investment Disputes yang bertapak di Washington untuk menuntut pampasan disebabkan eskpropriasi (expropriation).

Eskpropriasi juga didefinasikan bukan sahaja rampasan harta dan membatalkan kontrak tetapi juga sebarang pengurangan keuntungan akibat perubahan polisi dan peraturan.

Negara seperti Ecuador disaman dan terpaksa membayar pampasan USD2.3 bilion yang telah dianugerah oleh mahkamah tersebut kepada sebuah syarikat minyak AS pada 2012. Manakala Indonesia disaman USD2 bilion kerana menarik balik kontrak yang dimeterai dengan sebuah syarikat bertapak di UK.

Dalam aspek pemerolehan kerajaan, kesan parah akan berlaku ke atas syarikat GLC dan SME tempatan. Mengikut TPPA, sebarang layanan istimewa kepada syarikat tempatan untuk mendapat sebarang kontrak kerajaan akan dianggap menyalahi terma TPPA kerana tidak memberi layanan adil dan saksama.

Ini bermakna keutamaan dan keistimewaan untuk mendapat tender kerajaan kepada syarikat tempatan seperti syarikat hak milik kerajaan tempatan, kerajaan negeri, koperasi, Tabung Haji, PNB, DPMM, DPIM dan berkaitan akan terjejas.

Natijahnya ialah sebarang institusi tempatan atas nama syarikat yang ditubuh oleh pelbagai pihak daripada kalangan persatuan sosial akan diketepikan kerana perlu bersaing secara terbuka dengan pelabur luar.

Jika didapati mana-mana negara penandatangan TPPA melanggar peraturan memberi layanan yang sama rata kepada semua syarikat dalam dan luar negara, maka tindakan sanksi boleh dikenakan ke atas negara tersebut.

Dalam sub bab mengenai State Own Enterprise (SOE), mana-mana SOE yang terdapatnya saham kerajaan di dalamnya, terma TPPA menetapkan kerajaan tidak boleh menentukan dasar yang memihak kepada pelabur tempatan.

Implikasinya ialah sesebuah negara yang menandatangani TPPA harus saja mengubah secara drastik banyak dasar, undang-undang dan peraturan negara berkenaan yang akan memberi kesan kepada ekonomi dan masyarakat negara tersebut.

Sehubungan itu MTEM telah melontarkan beberapa soalan yang akan memberi implikasi kepada sosio-budaya dan kedudukan undang-undang serta dasar Islam jika TPPA dimeterai oleh Malaysia:

1. Sejauh mana pelbagai aspek TPPA akan mengurangkan syarat mematuhi budaya dan agama negara bila barangan dan industri perkhidmatan masuk kedalam pasaran Malaysia?

2. Jika Malaysia mahu menetapkan peraturan untuk mengetatkan sebarang kemasukan barangan yang mencemar dan menggugat nilai dan budaya Malaysia, apakah TPPA menganggap itu bertentanggan dengan ‘fair and equitable treament’?

3. Apakah undang-undang syariat (enakmen) dan dasar yang berkait dengan Islam yang dikuatkuasakan di peringkat negeri dan juga peraturan mengenai pentadbiran hal ehwal Islam peringkat persekutuan akan terjejas bila TPPA yang mengguna prinsip tidak boleh mendiskriminasi produk dari luar dalam pasaran terbuka akan berlaku?

4. TPPA mempunyai mekanisme Pertikaian Penyelesaian Perdagangan (Trade Settlement Dispute) yang tersendiri. Jika ada produk atau perkhidmatan daripada sebuah syarikat luar melanggari undang-undang dalam enakmen Islam, apakah undang-undang Islam yang menjaga kepentingan Islam di negara ini akan diketepikan bila berlaku konflik perdagangan?

5. Jika TPPA mensyaratkan terma yang ketat untuk negara menggubal sebarang polisi yang boleh memihak kepada kepentingan sosio-budaya tempatan, apakah dasar seperti Dasar Kebudayaan Kebangsaan, Akta Perdagangan mengenai logo halal akan dirombak?

6. Bab mengenai Hak Milik Intelektual dan Hakcipta mempunyai kesan besar kepada hak kepada maklumat dan hak kepada ilmu pengetahuan.  Sejauhmana TPPA akan menyekat penggunaan teknolgi maklumat yang membuka capaian kepada pelbagai sumber ilmu yang boleh dicapai oleh orang awam?

7. Bab perkhidmatan adalah luas. Ia termasuk soal industri hiburan dan media. Malaysia mempunyai peraturan mengenai penapisan bahan media dan persembahan artis luar dan dalam negara. Apakah industri ini tertakluk kepada syarat TPPA yang mesti mematuhi terma ‘fair and equitable treament’ walaupun ia melibatkan nilai dan budaya masyarakat Malaysia

Daripada semua persoalan di atas TPPA dan dengan budaya agenda rahsia, ia bakal mendedahkan negara kepada kesan sosio-budaya yang parah.

Apatah lagi teks TPPA masih dirahsiakan dari pengetahuan umum. Jikapun ada maklumat mengenai rundingan TPPA  yang telah bocor, ia masih tidak mencukupi bagi masyarakat awam dan penggubal dasar untuk meneliti dan menganalisa kesan yang bakal diterima oleh negara dan rakyat.

Justeru, jika kesannya menimbulkan kebimbangan, kenapakah pihak kerajaan ikut berahsia dan masih mahu meneruskan penyertaan dalam perundingan dalam TPPA? - 2 Oktober, 2013.

* Penulis adalah Timbalan Dekan Fakulti Komunikasi dan Media, Unisel kampus Shah Alam.

Tiada ulasan: