Ahad, 13 Oktober 2013

Tawaran KPN kepada Surendran tak bertanggungjawab



Oleh AZMIN ALI 


Saya merujuk kepada cabaran KPN kepada Naib Presiden KEADILAN , YB N. Surendran untuk mengiringi polis untuk ' tembak-menembak' dengan suspek penjenayah.

Ini adalah satu cabaran yang tidak bertanggungjawab dan tidak boleh diterima yang dilontarkan oleh Tan Sri Khalid Abu Bakar kepada Ahli Parlimen yang telah menimbulkan kebimbangan atas dasar ' menembak dahulu soal kemudian' Menteri Dalam Negeri. 

Daripada mengeluarkan cabaran seperti itu, Ketua Polis Negara sewajarnya menangani masalah semua rakyat Malaysia sejak ulasan mengejut yang dibuat oleh Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi lebih seminggu yang lalu. Kenyataan beliau adalah sama seperti pengakuan bahawa suspek sengaja ditembak mati oleh pihak polis.

Selain itu, adalah amat membimbangkan apabila Ketua Polis Negara telah meminta N. Surendran untuk menandatangani satu surat indemniti membebaskan polis bagi apa-apa 'kemalangan' yang mungkin berlaku apabila beliau mengiringi pasukan polis untuk "tembak-menembak".

 Adakah Ketua Polis Negara meminta N. Surendran untuk menandatangani sendiri waran kematian beliau? 

Mengapa pihak polis begitu cepat untuk membebaskan diri mereka daripada liabiliti, walaupun Ketua Polis Negara sendiri telah membuat tawaran kepada N. Surendran ? 

Kita tidak pernah mempertikaikan bahawa para pegawai penguatkuasa undang-undang kita meletakkan diri mereka dalam risiko, dan kita amat menghargai pengorbanan mereka. Apa yang kita lakukan adalah mempersoalkan sebarang penggunaan kekerasan yang melampau oleh pihak polis dan dasar 'tembak dahulu' penjenayah. 

Cara yang berkesan dan profesional untuk menangani isu-isu ini adalah dengan membentuk badan seperti IPCMC untuk memastikan bahawa polis mengikuti SOP yang ditetapkan dan kakitangan yang ingkar ditangani dengan sewajarnya. Sebaliknya, Ketua Polis Negara mengeluarkan satu cabaran yang bodoh sombong dan keterlaluan terhadap wakil yang dipilih rakyat.

Tingkahlakunya benar-benar tidak seperti ketua Pasukan Polis Diraja Malaysia dan kita harus mengingatkan beliau bahawa pangkat besar yang memberi kuasa besar turut membawa tanggungjawab yang berat.

Tiada ulasan: