Khamis, 10 Oktober 2013

RM1.6 juta K-Pop Meletup: Shabery Cheek Perlu Jawab dan Bertanggungjawab

BULETIN ONLINE
 
 
Respon yang diberikan oleh Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang berhubung perbelanjaan RM1.6 juta oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menganjurkan konsert K-Pop tahun lalu membuktikan bahawa kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) cuba bermain silap mata.

Menteri KBS penggal lalu, Datuk Ahmad Shabery Cheek cuba megelirukan dan mengaburi rakyat daripada fakta sebenar, dengan jawapan yag disangkal Tan Sri Ambrin.

“Bagaimana Ahmad Shabery boleh mendakwa bahawa RM1.6 juta tersebut dibayar oleh penaja konsert melalui penyaluran ke dalam akaun Majlis Sukan Negara? sedangkan Ambrin menerusi laporan audit membuat kenyataan sebaliknya?

“Bahkan menteri yang baru di Kementerian yang sama pada tahun ini, Khairy Jamaluddin turut mendakwa bahawa sejumlah RM1.6 juta tersebut terpaksa akhirnya dibiayai oleh Kementerian Belia dan Sukan?,”soal Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kaiat.

Beliau yang juga Exco Pemuda PAS Malaysia kesal dengan perbelanjaan yang sia-sia itu, yang menurutnya, lebih bermanfaat disalurkan untuk aktiviti dan insentif berbentuk biasiswa atau bantuan pengajian kepada generasi muda dan belia.

Tegas beliau, kenyataan yang ‘polos’ dan tidak telus itu menghakis keyakinan generasi muda terhadap kemampuan kerajaan khususnya KBS.

“Orang akan mula bertanya khususnya golongan anak muda dan belia, apakah lagi alasan yang akan dikeluarkan oleh menteri untuk dijadikan helah demi menyembunyikan fakta-fakta pembaziran dalam perbelanjaan yang dilakukan oleh kerajaan.

“Lebih malang lagi, tujuan konsert K-Pop yang dijalankan pada waktu itu juga boleh dipertikaikan, apakah manfaatnya kepada anak muda. Apakah ianya benar-benar dapat memberikan input kepada mereka atau sekadar ‘gula-gula’ UMNO/BN untuk berhadapan Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu,”kata Suhaizan dalam kenyataannya kepada pihak media.

Menurutnya, kerajaan juga megkhianati amanah kerana RM1.6 juta adalah merupakan wang cukai rakyat, hasil keringat petani, nelayan, pekebun kecil dikampung-kampung dan pekerja swata serta kerajaan yang terpaksa berkerja siang dan malam.

Tiada ulasan: