Pencabar Khairy Jamaluddin untuk jawatan ketua Pemuda Umno, Syed Rosli Syed Harman Jamallulail mendakwa menteri belia dan sukan itu menyalahgunakan jentera kementeriannya untuk berkempen bagi pemilihan Umno.
Syed Rosli (kiri) berkata beliau akan membawa perkara itu kepada Lembaga Disiplin Umno dan juga tidak akan teragak-agak untuk memajukannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Beliau mendakwa bahawa Khairy mengadakan satu majlis ramah mesra beliau bersama menteri di Kompleks Sukan Kampung Pandan pada 2 Oktober lepas pada kira-kira jam 8.30 malam.
Bagaimanapun, Syed Rosli mendakwa bahawa majlis itu sebenarnya digunakan untuk bertemu dan berkempen dengan beberapa pemimpin bahagian, seterusnya memperkenalkan beberapa calon yang bertanding jawatan exco Pemuda Umno Malaysia.
Menurutnya, tindakan itu melanggar perlembagaan Umno yang melibatkan Tataetika Ahli dan termaktub di bawah Fasal 5.5.1 bagi pertandingan peringkat Majlis Tertinggi.
"Calon dilarang berkempen tanpa kebenaran ibupejabat Umno dan pejabat perhubungan Umno negeri.
"Kedua, beliau menyalahgunakan program kementerian untuk kepentingan parti.
"Saya akan serahkan semua bukti ini kepada Lembaga Disiplin Umno dan saya harap lembaga berkenaan dapat mempertimbang bantahan saya," katanya dalam satu sidang media di Amping tengahari tadi.
Timbang lapor SPRM
Katanya, beliau juga mempertimbangkan untuk membawa perkara itu kepada SPRM jika Umno tidak bertindak terhadap perkara itu yang didakwanya boleh membatalkan kelayakan Khairy untuk bertanding.
"Saya serah kepada parti, kalau parti gagal, saya akan terus ke peringkat seterusnya atau pihak yang lain," katanya.
Bercakap lanjut, Syed Rosli turut mengulangi cabarannya kepada Khairy agar melaksanakan sumpah laknat tidak akan mengambil rasuah sepertimana yang beliau (Syed Rosli) sewaktu penamaan calon dahulu.
Menurutnya, jika Khairy menyahut cabaran itu, beliau tidak akan teragak-agak untuk terus menyokong Khairy jika kekal menjadi ketua Pemuda.
Selain Khairy yang mempertahankan jawatannya, tiga lagi, selain Rosli, yang menawarkan diri bertanding jawatan ketua Pemuda ialah Ketua Pemuda cawangan Bendang Baru, Langkawi, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi; bekas ketua Pemuda Umno bahagian Merbok Abd Karim ALi serta ketua Pemuda Umno cawangan Bukit Setiawangsa Irwan Ambak Khalid Izhar.
Malaysiakini sudah menghubungi Khairy untuk maklum balas dan masih menunggu komen beliau terhadap dakwaan tersebut.
Sementara itu, Bernama melaporkan Khairy menyangkal tuduhan pencabarnya Syed Rosli Syed Harman Jamallulail yang mendakwa beliau menyalahgunakan jentera Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk berkempen bagi pemilihan Umno.
Bernama juga melaporkan Irwan Ambak sebagai berkata, jika perwakilan ingin mendapat maklumat mengenai calon bertanding, mereka boleh menggunakan carian sosial media sebagai ruang terbuka dan mana-mana calon pun boleh mendapat peluang tersebut.
Abd Karim pula berkata di dalam sesuatu pertandingan adalah tidak adil jika seseorang calon itu menggunakan platform kementerian dan berkempen ke mana-mana kawasan sedangkan calon lain tidak mendapat kelebihan sebegitu.
"Lembaga Disiplin patut ambil tindakan. Tidak perlu menunggu anggota membuat laporan. Apa guna wujud tata etika tetapi tidak digunakan," katanya yang mahu ruang yang sama rata dan adil diberikan untuk semua calon bertanding.
Akhramsyah Muammar pula berkata sekiranya benar seseorang calon itu berkempen menggunakan platform kementerian atau badan bukan kerajaan, maka ia patut disiasat pihak berkuasa seperti SPRM.
Jelasnya seseorang calon itu mungkin telah menyeleweng dari tugas dan telah mengambil kesempatan untuk menguntungkan diri sendiri.
"Saya juga setuju sekiranya terbukti seseorang itu menggunakan jentera kementerian di bawahnya untuk berkempen, maka ia harus dibawa ke Lembaga Disiplin," katanya.
Setakat ini, 33,682 calon akan bertanding dan daripada jumlah itu, 259 calon bertanding di peringkat pusat termasuk MT iaitu 76 calon, Wanita (51), Pemuda (94) dan Puteri (38) manakala selebihnya di peringkat bahagian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan