Jumaat, 18 Oktober 2013

PAC panggil dua kementerian, syarikat pelaburan negara berhubung Laporan Audit Negara 2012‎

OLEH MOHD FARHAN DARWIS‎























Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil dua kementerian dan syarikat pelaburan negara untuk memberikan penjelasan berhubung pendedahan yang dibuat dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012.

The Malaysian Insider difahamkan antara yang akan dipanggil oleh jawatankuasa di bawah Parlimen itu adalah Kementerian Pengangkutan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dan Khazanah Nasional Berhad selepas mesyuarat kedua PAC pada 23 Oktober depan.

Sumber yang enggan dikenali itu mengesahkan Khazanah dipanggil bagi memberi penjelasan berhubung kelewatan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) yang menelan belanja sebanyak RM4 bilion berbanding peruntukan asal berjumlah RM1.6 bilion.

 PAC juga akan menyoal Kementerian Kewangan berhubung isu Sistem Pendaratan Berpandu (ILS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu yang dilaporkan mempunyai 599 lubang di landasannya.

Manakala bagi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, PAC akan melihat berhubung isu
pembelian empat peralatan pasukan Bomba untuk memecah dinding bangunan semasa operasi kebakaran, "Cobra Cutting Extinguisher E300" yang dibeli melalui rundingan terus bernilai RM1.68 juta.

Laporan Ketua Audit 2012 mendapati peralatan berkenaan tidak digunakan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat memaklumkan ia rosak.

Audit berkenaan turut mendedahkan tidak terdapat bukti menunjukkan tempoh kerosakan serta tiada bukti tindakan pembaikan mahupun tindakan pelupusan diambil terhadap barangan berkenaan.

Selain tiga kementerian berkenaan, Laporan Laporan Audit Negara 2012 turut mendedahkan beberapa isu lain termasuk kehilangan aset Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah Kementerian Dalam Negeri bernilai RM1.33 juta, antaranya adalah gari, senjata api dan juga kenderaan.

Selain itu, isu bayaran artis K-Pop bernilai RM1.6 juta di bawah Kementerian Belia dan Sukan turut didedahkan oleh Laporan Audit Negara 2012 bukanlah tajaan sebaliknya menggunakan dana kerajaan.

Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, yang bertanggungjawab berhubung perkara itu sebelum dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia bagaimanapun bersedia memberi penjelasan kepada PAC secara sukarela.

Tindakannya itu menerima respon positif daripada Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang kemudiannya turut menyeru menteri-menteri berkenaan mencontohi tindakan Shabery. -

Tiada ulasan: