Selasa, 1 Oktober 2013

Mukhriz itu pemimpin pelapis, yang lain hanyalah pemimpin pelapik


Oleh Aspan Alias


Pemilihan dalam UMNO adalah medan bagi setengah pihak memasang perangkap untuk rakan seperti dalam perebutan kuasa. Muhyiddin dan kumpulannya memasang perangkap untuk Najib dan pihak Najib pula masih lagi ‘terlopong' tanpa menyedari tindakan halus mereka yang mahu Naib tersungkur. Diantara mereka yang sedang memimpin UMNO hari ini ada yang tidak sedar permainan orang disekeliling masing-masing kerana permainan dalam UMNO ini penuh dengan seni yang kadangkala tidak difahami oleh bakal mangsa permainan itu.

Keadaan ini biasa dalam UMNO dan siapa yang akan terjebak itu mungkin terkena oleh perangkap dan jebak mereka pasang sendiri. Pemilihan kali ini akan menentukan banyak perkara dalam politik negara yang bakal mengubah landskap negara dengan begitu besar.Pertamanya ia akan menentukan nasib UMNO dari sudut pandangan ramai terhadap parti itu. Ia akan di nilai daripada hasil pemilihan itu kerana susunan jawatan Naib Presiden itu nanti. Naib Presiden merupakan jawatan yang terpenting di dalam parti kerana salah seorang dari mereka itu akan secara konvensyennya akan dilantik menjawat jawatan Timbalan Presiden dan Timbalan Perdana Menteri jika salah seorang dari Perdana dan Timbalan Perdana Menteri itu meletakkan jawatan atau meninggal dunia.

Yang sering di sebut sekarang ini kehadiran Mukhriz dalam perebutan jawatan Naib Presiden ini menampakan satu permainan politik besar dan sesiapa sahaja yang membuatkan Mukhriz bertanding jawatan itu mempunyai motif yang sangat besar. Mukhriz tidak akan mengambil keputusan untuk bertanding jika tidak digalakkan oleh Dr Mahathir Mohammed. Jika Mahathir cuba mempengaruhi segala-gala tindakan dalam UMNO yang melibatkan pemimpin lain tidak ada sebab sesiapa untuk menafikan yang keputusan Mukhriz itu adalah hasil dari keputusan Mahathir sendiri.

"Mahathir is a rush!" kata seorang yang hampir dengan pemimpin tertinggi parti semasa beliau menjemput saya minum petang dua hari yang lepas di Petaling Jaya. "Dia nak tengok Mukhriz menjadi pemimpin utama sebelum mati" katanya lagi. Mukhriz juga tidak akan menyertai pertandingan ini jika beliau tiada gandingan yang meyakinkan bagi beliau dan nyata Muhyiddin merupakan gandingan yang rapat beliau dan jika Mukhriz memenangi pertandingan ini ia adalah sokongan dari Muhyiddin dan penyokong-penyokongnya.

Permainan ini adalah permainan yang sangat mudah untuk di ikuti oleh sesiapa yang mempunyai sedikit sisik politik dalam dirinya. Lain-lain perkataan perebutan ini adalah perebutan diantara Mukhriz dengan mereka yang bertahan dan penyandang pada hari ini. Bagi Mukhriz siapa yang menang selain dari beliau tidak menjadi masalah kerana baiahnya dengan Muhyiddin itu adalah kuat dan jika mereka dapat mengepong Najib dengan cepat maka lagi cepatlah Muhyiddin jadi Perdana Menteri sementara untuk menyiapkan diri Mukhriz mengambil tempat menjadi pemimpin utama negara kita.

Apa pun yang dicakap dan di cakap oleh sesiapa Mukhriz merupakan projek Mahathir dan Muhyiddin. Bagi kumpulan ini Zahid Hamidi dan Hishamudin itu adalah pemimpin pelapik untuk mereka, bukannya pemimpin pelapis. Pemimpin pelapis mereka ialah Mukhriz. Suatu ketika dahulu Sanusi beranggapan beliau adalah pelapis kepada Mahathir apabila beliau memenangi jawatan Naib Presiden UMNO. Tetapi sehingga sekarang Sanusi tidak menyedari yang tenaga beliau hanyalah untuk digunakan sebagai pemimpin pelapik oleh Dr Mahathir. Zahid dan Hishamudin diharap akan menyedari yang beliau-beliau ini tidak termasuk dalam projek peralihan kuasa oleh Muhyiddin Yassin yang merasakan akan menjadi pengganti kepada Najib Tun Razak.

Pendeknya segala permainan ini adalah untuk memerangkap Najib agar beliau berundur dengan cepat untuk menyaksikan peralihan kuasa ini berlaku secepat yang mungkin. Jika Mukhriz memenangi jawatan Naib kali ini, maka usaha menekan beliau (Najib) untuk berundur akan dilakukan dengan cepat bagi menempatkan Mukriz menjadi Timbalan Perdana Menteri negara.

Kumpulan ini juga saya lihat cuba mempengaruhi kedudukan Khairy Jamaludin dan Akramsyah Sanusi itu adalah proxy kepada kumpulan yang menekan kedudukan Najib. Permainan politik ini amat merbahaya bagi Najib dan jika Najib masih lagi ‘melopong' dan ‘terngango' beliau akan menjadi korban keadaan.
Saya pernah menulis dalam blog ini Najib merupakan seorang pemimpin yang tidak mengenali siapa musuhnya yang sebenar. Musuh yang sebenarnya ialah mereka yang paling hampir dengan beliau kerana hanya mereka yang hampir sahaja yang mengetahui kelemahan Najib dengan begitu ‘detail'. Orang yang mengkritik secara terbuka beliau anggap sebagai musuh. Tetapi yang mengkritik secara terbuka ini mudah untuk dikendalikan. Orang yang mengkritik seperti saya mudah bagi beliau untuk menanginya.

Yang payah dan susah bagi Najib untuk mengendalikannya ialah musuh yang hampir yang ibarat seperti harimau yang sentiasa mengendap untuk menangkap beliau. Harimau yang mengendap ini akan menangkap beliau secara kilat, yang beliau tidak sedar dan tidak sempat untuk menepisnya. Segala persediaan sedang dilakukan oleh kumpulan yang ingin mengubah, menganjak dan mengalih kepimpinan dalam UMNO dengan rapi.

Dalam keadaan sekarang ini kita akan dapat melihat sejauh mana Zahid dan regu beliau seperti Hishamudin, dan Shafie Apdal dapat menunjukkan kecekapan mereka untuk menolak arus yang sedang beransur-ansur mengalir dalam UMNO sekarang ini. Zahid dan dua lagi penyandang ini harus ingat, seperti yang saya katakan tadi, yang mereka hanya dijadikan sebagai pemimpin pelapik dan bukannya pemimpin pelapis sekarang ini.

Jika Isa Samad dan Ali Rustam dapat merebut jawatan Naib Presiden ini mereka juga adalah pemimpin pelapik bagi pemimpin pelapis yang bernama Mukhriz itu. Jika semua perancangan ini berhasil maka hiduplah legasi Dr Mahathir dalam politik negara kita yang sedang berkecamuk dan tidak menentu ini.
Tetapi saya juga ada keyakinan yang, 'Mahathir cannot be lucky all the time'.

Tiada ulasan: