Dr Mohammad Agus Yusoff
PADA 30 September 2013, saya menulis tentang perbezaan antara politik wang dan wang politik. Tujuan saya adalah untuk menunjukkan bagaimana istilah politik wang ditafsirkan secara ‘salah’ sehingga menyekat calon yang bertanding dalam pemilihan Umno untuk berkempen dengan bebas kerana bimbang terpalit dengan ‘politik wang.’
Kelmarin, MB Negeri Sembilan DS Mohamad Hasan juga meluahkan kerisauan yang sama. Katanya, “sebahagian peraturan dalam pemilihan Umno kali ini kurang bijak dan boleh membantutkan proses pemilihan.”
Ini kerana calon tidak boleh berkempen secara bersendirian bagi bertemu dengan ahli Umno dan memperkenalkan diri. Katanya lagi: “Kalau jadi calon tapi tidak pergi berkempen, bagaimana mahu menang? Kalau bertanding jawatan ketua kelas pun kena kempen inikan pula mahu jadi anggota [MT]." Begitulah demokrasi dalam Umno.
Kisah di atas adalah cerita tentang kempen dan politik wang dalam Umno. Cerita di bawah ini pula adalah tentang sekatan yang dikenakan ke atas ahli yang ingin bertanding. Contohnya, dua minggu lepas saya ke Labuan.
Permohonan seorang anak muda, pemilik syarikat feri dan hotel yang hendak memindahkan keahliannya dari Seputeh ke Labuan tidak diluluskan. Sebabnya sederhana: Pimpinan bahagian bimbang kehadirannya boleh menggugat status quo yang ada. Aduhai.
Semalam pula seorang anak muda bercerita panjang kepada saya tentang hasratnya untuk bertanding sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu disekat.
Anak muda tersebut ialah Dr Najmil Faiz Mohamed Aris, seorang yang telah membuatkan negara kita bangga apabila beliau menjadi anak Malaysia pertama diberikan penghormatan untuk membentangkan tesis PhDnya di Parlimen Britain pada tahun 2005.
Pembentangan beliau mengenai teknologi nano yang relatif masih baru pada ketika itu membuatkan para tetamu terhormat dan saintis yang hadir di House of Common terpegun. Kajian beliau kemudiannya dinobatkan sebagai Prospek Terbaik untuk industri pembuatan.
Biarpun selepas itu ditawarkan untuk bekerja dengan syarikat multinasional di luar negara, anak muda ini memilih untuk pulang berkhidmat di tanah air.
Aktif dalam Umno dan kini merupakan setiausaha sulit seorang menteri yang juga Naib Kid President Bill Clinton Umno, beliau ingin menabur jasa lebih jauh lagi dalam Umno, tetapi hasratnya disekat atas alasan pencalonan beliau tidak layak kerana bertentangan dengan Fasal 15.5 Perlembagaan Umno.
Fasal 15.5 Perlembagaan Umno menyatakan: “Calon-calon yang ingin bertanding untuk mana-mana jawatan Ahli Jawatankuasa Bahagian hendaklah mendaftarkan dirinya dan telah menjadi ahli sekurang-kurangnyua tiga (3) tahun.”
Anehnya Dr Najmil adalah ahli Umno semenjak tahun 2009 lagi dan adalah Ketua Pergerakan Pemuda Umno Cawangan Taman Setia Burung Kuala Trengganu yang dipilih pada 22 Jun 2010 dan dipilih semula sebagai Ketua Pemuda Cawangan yang sama pada 23 Ogos 2013. Rekod keahliannya menunjukkan beliau telah menjadi ahli Umno melebihi dari tiga tahun.
Tetapi kerana persaingan dalam politik Bahagian dan Negeri, pencalonannya ditolak atas alasan tidak mematuhi Fasal 15.5. Penolakan terakhir adalah surat yang diterimanya dari Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu bertarikh 1 Oktober.
Melihat kepada kes Dr Najmil ini, saya tertanya: Mengapa begitu sukar untuk Umno memberi laluan kepada anak muda yang dinamik, bertenaga, berilmu dan berwawasan ini? Jika begitulah sikap pemimpin Umno yang kerjanya mencantas orang baru untuk muncul dalam politik, saya tidak tahu bila Umno akan berubah.
Pemimpin Umno perlu berani bersaing. Jika kempen pemilihan pun calon disekat dengan pelbagai peraturan dan pantang larang, bilakah Umno akan terbuka untuk menerima perubahan ke arah yang lebih demokratik?
Pada pemimpin Umno, pesan saya cuma satu: Jangan kuburkan bakat anak muda yang ingin berkhidmat kepada parti dan negara. Beri peluang kepada mereka yang ingin bertanding dan jangan sekatkan mereka dengan syarat dan peraturan yang tidak berkaitan. Kes saudara Shamdul dan Dr Najmil adalah kes yang memerlukan tindakan segera pemimpin tertinggi Umno.
Merenung ke depan, saya terfikir, alangkah bagusnya negara ini jika anak muda Melayu yang hebat seperti YB Khairy Jamaluddin, YB Nurul Izzah dan Dr Najmil dapat didokong untuk berdiri bersama di atas pentas yang sama bagi menerajui negara ini.
Semoga impian saya hari ini menjadi realiti pada hari esok. Amin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan