KUALA LUMPUR,: Kementerian Pendidikan didesak memberi penjelasan serta statistik mengenai jumlah kekosongan tenaga pengajar di semua sekolah di negara ini supaya masalah kekurangan guru yang tidak berpenghujung itu dapat diselesaikan.
Ahli Parlimen DAP Kulai, Teo Nie Ching berkata, statistik harus dinyatakan jika Kementerian Pendidikan benar-benar telah membuat perancangan untuk mengatasi masalah itu.
Menurutnya, pada Januari 2012, Kementerian Pendidikan membuka kursus Diploma Perguruan Lepasan Ijazah (DPLI) bagi menyelesaikan masalah kekurangan guru di sekolah rendah dan menengah, namun graduan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang tamat pengajian Mei lalu masih belum ditempatkan hingga sekarang.
“Kementerian Pendidikan mesti bertanggungjawab dengan memberi penjelasan atau statistik berhubung permasalahan itu. Jika tidak, perkara ini sekali lagi menunjukkan kegagalan mereka dalam membuat perancangan sempurna yang akhirnya membazirkan sumber negara,” katanya dalam kenyataan.
Berdasarkan jawapan lisan 30 September lalu, Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan menyatakan bahawa graduan GSTT-DPLI adalah sebanyak 6,020 orang di mana sebanyak 2,017 orang di bawah kategori sekolah rendah dan 4,003 sekolah menengah.
Kamalanathan mendakwa senarai calon lepasan graduan itu telah dikemukakan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) dan temuduga dijangka akan dijalankan pada Oktober dan lantikannya bermula Januari tahun depan.
Menyelar jawapan lisan itu, Nie Ching yang juga Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP menegaskan, melalui semakannya menerusi laman web Kementerian Pendidikan atau SPP masih belum ada sebarang maklumat mengenai temuduga itu sehingga kini.
“Apabila graduan menelefon jabatan berkenaan, pegawai terbabit tidak dapat memberi tarikh temuduga seperti yang dikatakan Timbalan Menteri.
“Semua graduan telah menandatangani kontrak perkhidmatan selama dua tahun dengan kementerian maka ini menjadi halangan kepada mereka untuk mencari pekerjaan alternatif terutamanya di sektor swasta.
“Pernahkah Kementerian mengambil berat terhadap mereka apabila mereka perlu menunggu penempatan selama tujuh bulan dan menghadapi masalah pengangguran serta menanggung kos sara hidup yang tinggi?,” soalnya.
Nie Ching turut mempersoalkan tindakan Kementerian yang sengaja melambat-lambatkan proses temuduga dan penempatan graduan tanpa sebarang alasan munasabah.
“Kajian tidak rasmi menunjukkan sebanyak 100 hingga 120 kekosongan guru di sekolah rendah. Jika kekurangan itu sudah lama berlaku, mengapa temuduga dan penempatan graduan GSTT-DPLI masih ditangguhkan?
“Tambahan pula, pengajian DPLI telah melahirkan 6,000 tenaga pengajar yang masih menunggu penempatan, ia menimbulkan satu keraguan besar, apakah benar kita mempunyai 6,000 kekosongan guru di semua sekolah yang mampu menampung keperluan secukupnya?,” soalnya lagi.-Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan