14 Oktober 2013 merupakan satu sejarah bagi penggunaan kalimah ALLAH, iaitu khusus untuk penganut agama Islam.
Penerbitan agama lain tidak seharusnya menggunakan istilah ini untuk sebarang tuhan mereka.
Itulah keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan hari ini tentang kes yang tersebut.
Keputusan itu cukup jelas dan terang. Hanya apabila terdapat rayuan tentang keputusan ini, maka kita menunggu pula proses undang-undang seterusnya dan keputusan rayuan tersebut di mahkamah yang lebih tinggi.
Kelmarin saya menulis supaya semua pihak dapatlah menerima keputusan mahkamah rayuan pada hari ini dengan dada yang terbuka. Tidak ada pihak yang seharusnya segera bersifat defensif dan emosional tanpa pertimbangan yang rasional.
Mahkamah mengambil kira implikasi perundangan terhadap maslahat umum dan kepentingan awam serta kesejahteraan rakyat di negara ini yang mungkin berbeza dari situasi di negara lain, dan berbeza dari latar belakang budaya, bahasa dan tradisi rakyat di negara lain juga.
Sensitiviti sebuah negara dan sebuah masyarakat mungkin berbeza dan tidak setara dengan sensitiviti atau kepekaan masyarakat negara lain.
Rakyat Arab dan Timur Tengah atau Afrika, tentunya mempunyai perbezaan dari segi budaya dan tradisinya dengan rakyat negara Asia.
Kesilapan pihak perundangan negara tertentu atau pentadbirannya dalam memutuskan atau membuat satu dasar mungkin menyebabkan huru hara yang besar di dalam satu masyarakat yang tertentu, sedangkan keputusan yang sama umpamanya di negara kita mungkin tidak dilihat sebagai satu faktor yang besar, yang boleh menimbulkan emosi dan sentimen yang besar.
Oleh itu sekali lagi ingin saya peringatkan, bahawa dalam penggunaan kalimah ALLAH bagi Tuhan umat Islam di Malaysia ini janganlah diukur dengan situasi di negara lain, atau latar belakang tradisi serta penggunaan bahasa lain, kerana rakyat Melayu amat kuat terikat dengan tradisi dan budaya serta bahasa Melayu dalam konteks agamanya.
Bahasa Melayu tidak boleh menerima ALLAH sebagai tuhan agama lain, kerana pengertian dan budaya serta tabiat penggunaannya itu amat khusus kepada Tuhan Yang Maha Esa, bukan God the father, the son dan the holy spirit. (Rujuk Al-Quran surah 5 ayat 72 - 73)
Kitab mana lagi yang hendak dirujuk dan diyakini dari segi akidahnya oleh orang Islam kalau tidak kepada kitab suci Al-Quran?
Inilah prinsipnya yang dianuti oleh orang Islam di negara kita ini, yang mempunyai Perlembagaan dan adat tradisi sendiri.
(*) Artikel ini dipetik dari blog Ismail Ibrahim
Tiada ulasan:
Catat Ulasan