PETALING JAYA - PR tetap dengan pendirian kalimah ALLAH boleh diguna pakai oleh orang bukan Muslim di Malaysia.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian apabila menjawab pertanyaan pemberita mengenai pendirian PR dalam isu kalimah ALLAH.

Menurutnya, pendirian itu tidak berubah seperti yang pernah dikeluarkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan PR pada tahun lalu.

"Pendirian PR kekal seperti mana yang pernah dikeluarkan kenyataan kita tahun lalu," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.

Pada Isnin lalu, Mahkamah Rayuan telah membuat keputusan tidak membenarkan Herald menggunakan kalimah ALLAH dalam seksyen bahasa Melayu penerbitan itu.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Seri Mohamed Apandi Ali yang bersidang bersama Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim dan Datuk Mohd Zawawi Salleh memutuskan demikian secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan kerajaan dan Menteri Dalam Negeri.

Sehubungan itu, Anwar yang juga Ketua Pembangkang turut meminta masyarakat bersabar dengan keputusan tersebut dan tidak cuba mewujudkan ketegangan.

"Kita mohon kebijaksanaan dan ketenangan di pihak rakyat menunggu proses mahkamah dan rayuan supaya pihak-pihak tertentu... jangan menggunakan ini untuk menghangat isu kaum dan agama," jelasnya.