Sabtu, 19 Oktober 2013

Impian Sarawak Kampung Sait – Mok Ayun

Oleh Dyana Sofya

1391856_10151894477250700_1373572637_n

KUMPULAN kami, Saudara Tony Pua, Saudari Yeo Bee Yin, Saudari Lydia dan saya sendiri tiba di Kuching pada jam 10.30 pagi Jumaat, 4 Oktober 2013. Sebelum menuju ke Kampung Sait – Mok Ayun, destinasi pertama Impian Sarawak di bawah inisiatif Impian Malaysia, kami membuat persiapan yang sepatutnya seperti makan tengahari, mee kolok makanan istimewa negeri Sarawak menjadi pilihan dan membeli beberapa keperluan asas.

Kami juga menemui seorang ejen Impian merangkap Pengarah Program Impian Sarawak yang telah bekerja keras untuk menjalankan program sebegini, saudari Karlye Tam.

Kami diberitahu untuk tidak membawa terlalu banyak barang kerana kami akan berjalan di dalam hutan selama satu jam setengah hingga dua jam untuk sampai ke Kampung Sait – Mok Ayun dari jalan raya terdekat. Kampung itu terletak di dalam kawasan Parlimen Mambong.

Saya juga diberitahu bahawa dua kumpulan sukarelawan telah tiba di kampung berkenaan seminggu lebih awal bagi membantu penduduk di sana dengan kerja pembinaan sistem paip air graviti yang dibiayai sepenuhnya dana Impian Sarawak hasil derma orang ramai, rakyat Malaysia khususnya.

Kos untuk pembinaan sistem paip air graviti itu kira-kira RM15,000 hingga RM20,000. Seramai 40 lebih keluarga di Kampung Sait- Mok Ayun akan menikmati kemudahan ini. Saya mula tertanya-tanya, takkanlah kemudahan semudah itu dengan kos serendah ini pun kerajaan negeri tidak dapat merealisasikan? Ini adalah keperluan asas manusia, air. Sebelum ini penduduk Kampung Sait-Mok Ayun terpaksa bergantung kepada sumber air hujan untuk kegunaan harian mereka.

1390487_10151894473215700_213119751_n

Saya mula membayangkan, di Selangor apabila ada kekurangan bekalan air pun orang Selangor sudah tidak keruan, inikan pulak nak mengharapkan air hujan! Memang sukar kehidupan penduduk kampung ini.

Setibanya kami di pintu masuk kawasan pembinaan empangan Bengoh, kami diminta oleh pegawai keselamatan di sana untuk menulis nama dan nombor kad pengenalan sebelum dibenarkan masuk ke kawasan terbabit. Ini adalah kerana untuk tiba ke trek memasuki kawasan hutan ke Kampung Sait – Mok Ayun, kami harus melalui kawasan tanah persendirian syarikat yang membangunkan empangan berkenaan.
Empangan Bengoh itu belum dipenuhi air dan tidak beroperasi secara penuh lagi.

Bayangkanlah, empangan projek mega itu akan dibangunkan untuk membekalkan air kepada penduduk kota, tetapi orang kampung yang tinggal tidak jauh daripada situ hendak dapatkan air paip pun tiada!
Kami disambut sekumpulan sukarelawan Impian Sarawak yang telah berkhidmat di sana selama seminggu serta penduduk kampung.

Sukarelawan Impian Sarawak terdiri daripada anak muda yang bersemangat waja dan cekal daripada pelbagai latar belakang dan kebanyakan mereka adalah non-partisan. Mereka sertai program ini dengan matlamat yang satu iaitu untuk membantu rakan warga Malaysia yang memerlukan bantuan tanpa mengira agama dan keturunan.

Kami mula berjalan bersama-sama ke dalam hutan yang agak berbukit-bukau dan trek yang agak sukar, licin dan sempit. Penduduk kampung di sini termasuk warga emas, kanak-kanak dan ibu mengandung melalui trek yang sama hampir setiap hari untuk ke bandar.

 Setelah berjalan kira-kira 20 minit, kami tiba ke titian gantung yang pertama. Ya, bukan sahaja trek sempit dan sukar, terdapat titian gantung pula! Hanya mengharapkan batang buluh dan beberapa utas tali, titian gantung yang sepanjang hampir 100 meter dan berada pada ketinggian 30-40 meter harus diharungi untuk tiba ke destinasi. Dan titian gantung ini bukan satu tetapi terdapat dua di sepanjang perjalanan, yang agak sama panjang dan tinggi.

Agak berdebar juga untuk melalui titi buluh yang tak tentu kukuh atau tidak, bergoyang-goyang, siap berbunyi berkriut-kriut sambil pasrah melihat air sungai yang deras di bawahnya. Kalau tidak melihat ke bawah, takut tersalah langkah, boleh jatuh ke dalam sungai.

Setelah berjalan hampir dua jam, kami akhirnya nampak beberapa bumbung rumah dan tanaman kebun daripada jauh menandakan kami sudah sangat hampir dengan penempatan terbabit. Kelihatan juga sekumpulan orang kampung menanti ketibaan kami di satu kawasan tanah lapang kecil, khas untuk helikopter mendarat.

Saya agak terperanjat. Ada helipad di kampung ini? Oh, padanlah, orang kerajaan akan cuma melawat dengan menaiki helikopter. Mereka tidak tahu perihal titi gantung berkriut yang menakutkan dan trek hutan licin bukit-bukau yang dilalui penduduk kampung ini.

Penduduk Kampung Sait – Mok Ayun menyambut kehadiran kami dengan senyuman yang lebar dan saya sudah berasa seperti pulang ke kampung sendiri. Layanan yang diberikan amat baik walaupun tidak banyak yang dapat mereka berikan. Sesungguhnya lawatan ini amat bermakna dan menundukkan (humbling) saya dan kawan-kawan yang lain. Pertama kali saya tinggal di kampung yang tidak mempunyai jalan raya, tiada bekalan air tetap dan tiada bekalan elektrik terletak jauh di dalam hutan. Telefon pun tidak dapat digunakan apatah lagi 3G.

Penempatan ini terletak di dalam kawasan tanah adat masyarakat Bidayuh yang tinggal di kawasan ini sejak zaman datuk moyang mereka lagi. Di sinilah mereka tinggal dan di sinilah mereka bercucuk-tanam, memburu dan sebagainya. Tanah inilah kehidupan mereka. Jika tanah ini diambil, maka kehidupan mereka juga dirampas dengan begitu sahaja.

1375029_10151894462075700_2098859004_n

Seteleh berehat seketika, penduduk kampung yang diketuai Encik Nanak Bago, Ketua Kampung Sait – Mok Ayun memberitahu bahawa sistem paip air graviti telah siap dibina. Kami kemudian dibawa ke punca air nun jauh di atas bukit, kami terpaksa melalui bukit yang curamnya mungkin dalam 70 darjah. Saya betul-betul kagum dengan kebolehan mereka dan sukarelawan Impian Sarawak melakukan kerja sebegini di kawasan tempat yang agak mencabar. Menggunakan teknologi kejuruteraan kampung sahaja tanpa apa-apa mesin canggih dan besar, kumpulan penduduk dan sukarelawan ini berjaya membina sistem paip air graviti yang dapat membekalkan air paip pada bila-bila masa untuk kegunaan semua penduduk kampung.

Ketika tinggal di kampung ini, saya dapat merasakan layanan yang sangat baik di mana keluarga tuan rumah yang saya tinggal, Encik Matob dan Puan Dot sentiasa memastikan keselesaan kami. Di samping itu menyediakan makanan halal dan membeli perkakas baru khas untuk sukarelawan beragama Islam. Saya amat tersentuh dengan layanan mereka yang sangat jujur dan ikhlas.

Pada keesokan harinya, majlis perasmian Projek Bekalan Air Paip Graviti diadakan di kampung itu dan dirasmikan oleh Ching Chieng Jen (MP Kuching), Tony Pua (MP Petaling Jaya Utara), Yeo Bee Yin (ADUN Damansara Utama) dan Wong King Wei (ADUN Padungan). Apabila paip dibuka dan air pun keluar dengan banyaknya, terpancar kegembiraan yang amat sangat di wajah penduduk Kampung Sait – Mok Ayun kerana kini mereka telah pun mempunyai bekalan air paip untuk kegunaan seharian.

Sedih kerana masih ada lagi rakyat Malaysia yang hidup dalam serba kekurangan seperti penduduk Kampung Sait – Mok Ayun walaupun mereka terletak di dalam negeri Sarawak, yang terkaya dengan sumber alam semulajadi.

1375092_10151894472010700_3242523_n

Walaupun mereka masih tidak mempunyai bekalan elektrik dan jalan raya untuk menghubungkan mereka dengan dunia luar, sekurang-kurangnya mereka sudah mempunyai bekalan air yang cukup buat masa ini dengan menggunakan dana terhad daripada program Impian Sarawak.

Terima kasih Impian Sarawak kerana membantu dan memberi harapan baru kepada penduduk Kampung Sait – Mok Ayun dalam masa hanya enam minggu daripada hari lawatan pertama sehingga ke hari majlis perasmian.

Terima kasih juga kepada penduduk Kampung Sait – Mok Ayun kerana menerima kehadiran kami dan memberi tunjuk ajar cara kehidupan orang kampung, membuka mata anak-anak kota supaya lebih menghargai nikmat yang diberikan dan menguatkan semangat kami dalam memperjuangkan nasib rakyat Sarawak bersama-sama mengecapi Impian Sarawak.

Tidak banyak yang diperlukan untuk melakukan perubahan yang besar sekiranya kita bekerjasama dan seterusnya merealisasikan Impian Malaysia. – Roketkini.com

Tiada ulasan: