Rabu, 23 Oktober 2013

Calon BN Sungai Limau Akui Sumbangan Azizan, Janji Buat Lebih Baik




YAN: Calon Barisan Nasional (BN), Dr Ahmad Sohaimi Lazim yakin parti itu berupaya memberikan sumbangan yang lebih baik kepada pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau sekiranya menang pada pilihan raya kecil kawasan itu 4 November depan.

Sambil mengakui sumbangan Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak di DUN Sungai Besut, Ahmad Sohaimi bagaimanapun berkata menerusi sistem demokrasi, BN juga berjanji akan menawarkan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat.

"Setiap pemimpin mempunyai keistimewaan sendiri, mereka ada jasa dan pengorbanan mereka. Dalam konteks ini kita tak nafikan Tan Sri Azizan mempunyai sumbangan kepada masyarakat di sini.

"Tapi pemimpin silih berganti, jadi dengan kekosongan kerusi ini dan apabila BN berpeluang untuk menawarkan diri melalui sistem demokrasi, kita sebenarnya cuba menawarkan satu keadaan yang lebih baik daripada sebelum itu," katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan BN di sini, Rabu.

Selain itu bekas pensyarah kanan, Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris itu berjanji untuk untuk membantu meningkatkan taraf hidup rakyat di DUN Sungai Limau.

"Kalau dikatakan era Tan Sri Azizan sebagai satu era yang baik... maka saya berjanji untuk buat lebih baik daripada beliau.

"Dalam keadaan hari ini apabila Kedah dipimpin oleh Datuk Mukhriz Mahathir, saya yakin insyaAllah kita boleh mengangkat Sungai Limau menjadi lebih baik daripada sebelum ini," katanya.

PRK DUN Sungai Limau menyaksikan saingan satu lawan satu antara Ahmad Sohaimi menentang calon PAS, Mohd Azam Abdul Samat.

Kerusi DUN Sungai Limau yang terletak di bawah Parlimen Jerai diisytihar kosong susulan kematian penyandangnya, Tan Sri Azizan Abdul Razak yang juga bekas Menteri Besar Kedah, akibat komplikasi jantung serta jangkitan kencing manis.

Azizan memegang kerusi itu selama lima penggal sejak 1995.

Beliau mengekalkan kerusi itu pada pilihan raya umum ke-13 Mei lepas dengan memperoleh 13,294 undi menewaskan sepupunya daripada BN, Mohd Fazillah Mohd Ali dengan majoriti 2,774 undi.

Tiada ulasan: