Khamis, 24 Oktober 2013

CABAI BURUNG: Isu “Allah” lenyapkan akal waras rakyat Malaysia

cabai-burungA1


RAKYAT Malaysia apa jua agama terpaku, terpesona dengan kalimah Allah yang menjadi isu sehingga menutup segala beban dan kerja seleweng pentadbiran Barisan Nasional (BN) dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Isu kalimah itu yang diharamkan ke atas akhbar mingguan Katholik, The Herald nampaknya telah masuk dalam carta nombor satu isu sensasi dunia malah menjadi modal lawak jenaka di dunia Arab. Masakan tidak, isu seperti ini hanya wujud di negeri yang mana pribumi Melayunya mahu menjadi Arab lebih daripada orang Arab.

Sama ada masyarakat Islam atau Kristian, kekeliruan makin bertambah apabila pengharaman penggunaan kalimah Allah ini disalahertikan kepada pengharaman kalimah itu dalam Bible berbahasa kebangsaan hingga menyebabkan timbul suara-suara sumbang mahu Sabah dan Sarawak berpisah daripada Malaysia.

 malaysia-flag

Kembali kepada jiwa Malaysia

Tindakan kelompok radikal agama dan kaum seperti PERKASA, ISMA dan seangkatannya berjaya membuatkan sebahagian umat Islam terpengaruh, akibat terlalu takut bertukar keimanan masuk Katholik.

Ia tambah membimbangkan apabila Presiden ISMA, Abdullah Zaik Abd Rahman menyeru mereka yang tidak berpuas hati terhadap keputusan Mahkamah Rayuan mempertimbangkan supaya berhijrah dari Malaysia.

Persoalannya, mengapa kerajaan yang sering berbangga dengan keharmonian kepelbagaian kaum dan agama negara ini membiarkan perbuatan provokatif itu sehingga menimbulkan kemarahan dan kekeliruan rakyat Malaysia? Nampaknya gagasan 1Malaysia PM Najib bukan sahaja sudah masuk bakul sampah tapi sudah dibuang ke sungai Pahang.

Tidakkah kita sudah maklum yang selama ini kalimah Allah telah digunakan di Malaysia Timur dalam ritual penganut Kristian dan Bible bahasa kebangsaan? Malah ia telah diguna pakai secara meluas sebelum pembentukan Malaysia oleh masyarakat Bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Sering isu sensasi seperti ini menjadi modal bagi ahli politik untuk mendapat sokongan. Rakyat tidak menjadi kecoh seperti sekarang jika tiada tangan politik yang bermain api.

Sudah tiba masanya seluruh pemimpin agama, NGO, pimpinan kerajaan mengorak langkah ke hadapan membuka ruang yang lebih luas kepada wacana dan dialog antara agama. Sampai bila masyarakat Malaysia akan terus dipacu emosi tanpa kefahaman dan ilmu yang benar?

Biarlah berbeza pendapat dan ideologi politik kerana Malaysia negara demokrasi, itu bukan asas untuk berpecah, berpeganglah kepada mutiara kata orang tua kita, “Bersatu teguh, bercerai roboh”. Malaysia, milik kita bersama.-Roketkini.com

Tiada ulasan: