BELUM. Pengaruh Mahathir belum berakhir. Malah barangkali tidak akan berakhir. Ini hakikat yang kita kena terima dengan hati terbuka. Mahathir memerintah Malaysia selama lebih 20 tahun. Kita membesar dengan mengenali ketokohan manusia ini, yang sampai kini pun ada yang rasa dia masih lagi Perdana Menteri.
Kekalahan Mukhriz dalam lumba merebut jawatan Naib Presiden UMNO tidak bermakna pengaruh Mahathir dan fungsinya dalam hala tuju UMNO sudah berakhir. Bahkan sebenarnya kini semua mata menumpu kepada Mahathir dan anakandanya yang tewas. Bukan kemenangan naib presiden lain yang jadi bahan berita, tetapi kekalahan Mukhriz yang jadi laporan utama.
Kekalahan Mukhriz jadi perkara yang lebih sensasi
daripada kemenangan Zahid Hamidi yang baru seminggu dua lalu kecoh
dengan kenyataan pelik yang dibuat di Melaka. Kita pakat lupa belaka
dengan apa yang disebut Zahid kerana kita lebih peduli dengan kekalahan
Mukhriz.
Ini pelik politik Malaysia. Kita sendiri
sebenarnya tidak tahu apa kita mahu. Dan kita buat benda yang
bukan-bukan hanya untuk melihat apa kesudahannya nanti.
Kalau
UMNO benar mahu dengar kata Mahathir, pastilah Mukhriz yang dilantik,
bukannya Hishammuddin.
Meski undi popular berpihak kepada Mukhriz, kita
juga hampir pasti bahawa UMNO dan juak-juaknya tidak akan mengatakan
Mukhriz lebih layak kerana menang undi popular. Itu sama seperti mahu
kata Pakatan Rakyat patut jadi kerajaan kerana menang undi popular.
Mukhriz kalah, ya kita semua sudah tahu. Tapi siapa sebenarnya yang menang?
Seperti
ada yang ditulis orang, pemilihan UMNO kali ini ialah perlawanan
antara penyandang dengan pencabar. Sedikit berat sebelah kerana
perwakilan UMNO seringkali memperlihatkan sifat setia dan memberi muka
kepada penyandang, tidak kiralah betapa teruknya prestasi sang
penyandang.
Lihat
sahaja bagaimana Wanita UMNO tetap mengekalkan Kak Ijat sebagai
kapitannya, meski timbalannya dulu meroyan berkoyan-koyan sedih
dipanggil lembu. Sebut saja lembu teringat UMNO, sebut UMNO teringat
lembu. Sembelih lembu korban pun berdekah-dekah ketawa sambil pak imam
melawak kata tengah sembelih UMNO. Begitu pun dahsyat penghinaan
terhadap UMNO angkara ‘lembu’; Kak Ijat tetap juga dipilih kembali
menjadi Ketua Wanita.
Lihat pula penyandang jawatan
Ketua Pemuda yang segak bergaya. Kemudian lihat pula pembawakan
pencabarnya. Aduh, liga berbeza. Macam mana nak lawan? Lalu penyudahnya
Khairy kekal di jawatan yang sama. Yang mencabar satus quo akan nanti
tercantas dan terhalang kemajuan kerjaya politiknya. Demikian nasib
politisi UMNO bergelumang dalam real politiknya yang begitu ganas.
Namun
berbalik kepada persoalan pokok. Suara Mahathir tidak akan pernah
padam, meski anakandanya tidak berjaya. Namun apa yang lebih penting
ialah suara apa sebenarnya yang mahu dibawa Mukhriz sekiranya berjaya
menjadi Naib Presiden? Kita pastinya masih teringat kepada sidang media
Mukhriz beberapa hari sesudah berakhirnya Pilihan Raya Umum Mac 2008
yang menyaksikan Pak Lah seakan linglung dan ngawur seketika setelah
kehilangan majoriti dua pertiga.
Mukhriz antara yang
kelihatan begitu terkedepan menuntut Pak Lah bertanggungjawab atas
kekalahan dan aib yang ditanggung UMNO lantaran keputusan PRU Mac 2008
itu. Kita juga pasti masih ingat akan kain rentang yang mendesak supaya
Pak Lah meletakkan jawatan.
Pasca 2008 UMNO kelihatan
bersungguh-sungguh mahu berubah. Tak mampu reformasi, UMNO cuba
transformasi. Transformasinya itu ke arah apa, kita tak pula mengerti.
Menang
sahaja Khairy Jamaluddin jadi Ketua Pemuda, terbitlah dua tiga kerat
yang berkata hubaya hubaya, jaga-jaga dengan liberalisme bakal menular
UMNO? Jenuh juga saya garu kepala, rupanya ada liberal dalam UMNO, tapi
liberal yang ini bagaimana rupa bentuknya? Adakah liberal UMNO ini pro
LGBT? Kita tidak tahu.
Jadi kalau mahu berfikrah
liberal dalam UMNO juga jadi berdosa, maka transformasi yang diimpikan
Najib Razak ini quo vadis sebenarnya? Dari mana datangnya dan ke mana
ia mahu pergi? Adakah masih harus bergantung kepada wahyu Mahathir baru
jelas hala tuju parti Melayu ini?
Itu juga kita tidak tahu.
Apa
yang kita tahu ialah pemilihan UMNO kali ini ialah pemilihan yang
tidak punya banyak pergulatan.
Presidennya tidak berlawan sesiapa,
Timbalan Presidennya tidak berlawan sesiapa, dan penyandang yang
lainnya juga seolah-olah tidak berlawan sesiapa. Seolah-olah pemilihan
UMNO kali ini bertujuan mencantas siapa yang mereka tidak suka,
ketimbang memilih siapa yang sepatutnya berada dalam pucuk pimpinan
dalam rangka menuju PRU ke-14.
Ini yang tidak
dijelaskan kepada orang UMNO. Atau barangkali sengaja tidak dijelaskan
supaya undi tidak beralih hala selain kepada penyandang semata-mata
demi mengekalkan status quo serta saf kepimpinan yang sehingga saat ini
masih gagal menunjukkan apa sebenarnya agenda perubahan atau rangka
kerja baru untuk Malaysia yang lebih baik.
Dan Malaysia yang lebih baik sebenarnya adalah Malaysia yang bebas daripada nasihat dan bisikan Mahathirisme.
Membebaskan
Malaysia daripada Mahathir bukan kerja mudah. Bahkan amat renyah
sekali kerana Mahathir seakan sepohon kayu rendang yang cabang dahannya
merimbun litup sekalian ceruk; akarnya pula mencengkam seawal Tunku
mahu dijatuhkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan