Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata beliau tidak akan mengambil apa-apa tindakan terhadap pihak yang mengabaikan nasihatnya berhubung tayangan filem kontroversi Tanda Putera.

lim guan eng interview 160813 03Dalam kenyataannya hari ini, beliau yang juga setiausaha agung DAP berkata berikutan "ancaman" kerajaan persekutuan, pihaknya dimaklumkan semua pengusaha pawagam di negeri itu akan menayangkan filem tersebut tidak lama lagi.

"Kerajaan negeri Pulau Pinang memberi jaminan bahawa tiada tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak, tetapi kami berharap semua pihak, termasuk penonton dan pengusaha filem boleh melihat di sebalik pembohongan dan kebencian perkauman tertanam dalam filem itu," katanya.

Semalam Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Chik dilapor berkata kementeriannya akan merujuk Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut berhubung keputusan kerajaan Pulau Pinang mengharamkan penayangan filem itu.

Beliau berkata pertemuan akan diadakan antara pihak kementerian dan Pejabat Peguam Negara bagi melihat mana-mana peruntukan undang-undang berkaitan dengannya.

NONEKatanya lagi, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) berkuasa memberi lesen wajib tayang sesuatu filem kepada pawagam, manakala kerajaan tempatan pula berkuasa untuk membolehkan sesuatu pawagam itu boleh dibuka, dibina dan sebagainya.

Menurut Lim, kerajaan negeri mempunyai tanggungjawab moral menentang usaha menulis semula sejarah yang tidak konsisten dengan kejadian dan fakta sebenar termasuk filem yang didakwanya "penuh dengan pembohongan dan menyerang kumpulan minoriti".

tanda putera premiere 200813 receptionWalaupun kebebasan bersuara tidak bererti kebebasan untuk berdusta, Lim menegaskan kerajaan negeri mengambil langkah menasihatkan tentang filem itu yang menggunakan dana awam "untuk menyebarkan pembohongan yang menggalakkan kebencian dan bukan keharmonian antara pelbagai kaum".

"Tajaan kos pengeluaran filem itu sebanyak RM4.8 juta oleh kerajaan persekutuan hanya boleh dilihat sebagai satu sokongan rasmi sepenuhnya, termasuk terhadap adegan rekaan yang diakui sendiri pengarahnya sebagai tidak benar tetapi dijelaskan sebagai "lesen kreatif".

"Lesen kreatif tidak memberi sesiapa hak untuk menyebarkan pembohongan yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan konflik. Jelas BN sanggup ke tahap ini untuk memaksakan pembohongan dan menafikan kebenaran," katanya.