THE MALAYSIAN INSIDER
Mereka digelar pondan, mak nyah, tomboi dan pelbagai lagi yang semuanya
membawa konotasi negatif dan maksud serupa iaitu golongan yang bersifat
dan berkelakuan bertentangan dengan tabii.
Mereka juga dipandang serong serta sering kali dipinggirkan masyarakat
kerana selain gaya hidup yang bertentangan dengan agama dan budaya,
kelompok ini sinonim dengan pelbagai gejala negatif.
Menyedari nasib yang menimpa kebanyakan golongan itu, badan bukan
kerajaan Persatuan Perkembangan Kesihatan Keluarga Pulau Pinang (FHDA)
tampil menyediakan perkhidmatan terutama berhubung aspek kesihatan dan
reproduktif.
"FHDA mendekati golongan ini bukan untuk menggalakkan gejala
transgender berleluasa. FHDA menumpukan kepada kesihatan seksual dan
reproduktif.
“Mereka tergolong dalam kelompok yang memerlukan bimbingan sewajarnya kerana ada yang mengambil hormon dan memasukkan implan.
"Mereka perlukan preskripsi dan nasihat doktor melalui saluran yang
betul... kalau hormon yang mereka ambil tu salah, ia boleh mendatangkan
banyak kesan sampingan kepada mereka. Jadi, FHDA berperanan dalam
memberi khidmat nasihat kepada golongan ini," kata pengerusinya Yeap
Meng Chee.
Katanya kesukaran golongan itu mendapat rawatan dan khidmat nasihat di
sini menyebabkan ramai ke luar negara untuk mendapatkan rawatan tertentu
yang kadang kala menyebabkan mereka menanggung kesan buruk sehingga ada
yang maut.
Katanya sepanjang tahun lepas 449 transgender mendapatkan perkhidmatan FHDA.
"Pada mulanya agak sukar untuk mendekati golongan ini. Mereka ingat
kita nak tangkap mereka.
Bagaimanapun kebijaksanaan sukarelawan kami
berjaya mendapatkan kepercayaan mereka.
"Kini ada antara mereka yang membawa rakan-rakan mereka untuk
menjalankan pemeriksaan di sini selain mendapat khidmat nasihat
berhubung masalah kesihatan," katanya sambil menambah terdapat 12 orang
doktor sukarela menawarkan perkhidmatan kepada FHDA.
Selain pemeriksaan kesihatan dan khidmat nasihat, Yeap berkata FHDA
turut merujuk golongan mak nyah kepada pakar psikiatri bagi membantu
menyelesaikan masalah kecelaruan identiti dan antara mereka yang berjaya
kembali menjadi lelaki normal.
Katanya FHDA juga bekerjasama dengan Hospital Pulau Pinang dan beberapa NGO di negeri ini untuk membantu golongan berkenaan.
FHDA yang ditubuhkan pada 1962 menyediakan perkhidmatan seperti klinik
perancang keluarga, kaunseling pengguguran, pemeriksaan payu dara, pap
smear dan rawatan kesihatan wanita, vaksin HPV dan projek pencegahan HIV
menerusi Global Fund. - Bernama,
Tiada ulasan:
Catat Ulasan