Khamis, 1 Ogos 2013

Mahkamah pilihanraya jadi jalan buntu

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan, mahkamah pilihanraya yang menjadi tempat akhir saluran sah rakyat mengadu mengenai kepincangan pilihan raya  kini bertukar menjadi jalan buntu.

Ini berikutan pelbagai keputusan yang dibuat oleh mahkamah berkenaan sangat diragui dan menyusahkan pihak-pihak yang ingin mencari keadilan, kata Ketua Penerangannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar).

Sehubungan dengan itu, beliau bertanya, apakah penalti yang tinggi yang dikenakan pada pempetisyen pilihanraya ialah amaran tersirat agar setiap kali pilihanraya jangan ada pihak yang berani membuat petisyen walaupun tidak berpuashati atau ini satu trend baru dalam kehakiman?

Tuan Ibrahim berkata demikian sebagai mengulas keputusan mahkamah pilihanraya untuk menolak petisyen pilihanraya yang difailkan BN dan Pakatan Rakyat di peringkat awal sebutan kes dengan alasan teknikal sahaja.

Pempetisyen pula dikenakan untuk membayar penalti kos yang sangat besar sehingga RM150,000 sebagaimana yang berlaku di petisyen pilihan raya Dewan Undangan Negeri Kuala Brang, Terengganu pagi ini.

“Mahkamah sepatutnya menjadi tempat rakyat mengadu mendapatkan keadilan. Ia adalah jalan terakhir bagi rakyat kerana ia menelan belanja yang tinggi. Kos penalti yang diperintah bayar untuk petisyen pilihanraya yang sangat tidak munasabah ini bukanlah satu usaha positif bagi rakyat  menjadikan mahkamah sebagai tempat mengadu permasalahan mereka,” tegas Tuan Ibrahim.

Pilihanraya umum ke 13 mencatat sejarah petisyen paling banyak iaitu 60 dengan 39 daripada Pakatan Rakyat dan 21 daripada BN.

Tuan Ibrahim berkata sekurang-kurangnya mahkamah harus memulakan pembicaraan untuk mendengar hujah pempetisyen daripada terus menidakkan hak pempetisyen untuk mengadu atas sebab teknikaliti.

Alasan teknikal seperti petisyen hendaklah dibuat sendiri oleh calon, bukan melalui peguam dan pelbagai isu teknikal lain.

"Jelas, mahkamah tidak membantu rakyat bagi memudahkan prosedur petisyen. Rakyat menfail petisyen kerana kepincangan sistem pilihanraya yang dialaminya bukan suka-suka. Sepatutnya mahkamah memberi keutamaan kepada isi petisyen daripada segalanya,” tegasnya lagi.

Pesuruhjaya PAS Pahang itu turut menyoal garis panduan yang digunakan untuk menetapkan kos yang terpaksa dibayar.

"Apakah tiada 'tanda harga' bagi mengawal agar pempetisyen boleh mempersiapkan jumlah wang bagi bersedia ke arah itu ketika membuat petisyen? Apakah ini menandakan pilihanraya ini sekarang hanyalah medan untuk orang kaya-kaya?” soal beliau.

Dengan kes-kes petisyen pilihanraya yang berakhir dengan pempetisyen dikenakan penalti melampau,  Tuan Ibrahim berkata PAS khuatir rakyat terpaksa memilih jalanraya kerana nampaknya inilah medan terbuka yang jelas lebih murah bagi menyatakan bantahan terhadap kepincangan pilihanraya.

“Apapun, PAS akan terus berjuang bersama PR dan rakyat seluruhnya bagi menuntut satu sistem pilihanraya yang lebih adil dalam sistem demokrasi di negara ini. Sudahlah rakyat hilang kepercayaan kepada SPR dan jangan lupa sehingga mahkamah pilihanraya pun kurang diyakini rakyat,” hujah beliau.

Tiada ulasan: