Ahad, 11 Ogos 2013

Mahathir ada cara tersendiri bidas Pak Lah, kata Awang Selamat

Oleh Hasbullah Awang Chik

























Kolumnis akhbar milik Umno, Utusan Malaysia Awang Selamat melalui terbitan Mingguan Malaysia mempertahankan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan menegaskan bekas Perdana Menteri itu akan menjawab segala tuduhan yang dilemparkan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan caranya tersendiri yang dijangka sinis dan lebih berbisa.

Katanya, harapan untuk melihat Abdullah dan Dr Mahathir berbaik semula menjelang Aidilfitri ini tidak kesampaian kerana agenda bangsa dan agama memerlukan permuafakatan pemimpinnya.

“Awang mendoakan perdebatan yang lebih sihat bakal berlaku dan tidak membawa kemudaratan kepada Umno dan Barisan Nasional (BN),” tulis beliau hari ini.

 Abdullah yang juga dikenali sebagai Pak Lah dalam buku memaparkan detik-detik beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia bertajuk “Awakening: The Abdullah Badawi Years In Malaysia” menjelaskan sekiranya beliau mengikut kehendak dan tekanan Dr Mahathir supaya berbelanja tanpa kawalan dan meneruskan projek mega, Malaysia pasti akan jatuh muflis.

Katanya, Dr Mahathir hanya mahu pendapatnya didengari dan tidak mendengar pendapat orang lain sebagai contoh, beliau berjumpa dengan bekas Perdana Menteri itu untuk menjelaskan penangguhan beberapa projek mega disebabkan bajet defisit namun cadangan itu ditolak kerana katanya, kerajaan perlu terus berbelanja.

Beliau menjelaskan Dr Mahathir mengamuk apabila beberapa projek mega seperti landasan berkembar terpaksa ditangguhkan kerana merasakan itu adalah projek angkatnya.

“Jika kita terus berbelanja, saya boleh bayangkan kita sudah muflis kerana pentadbiran saya sendiri telah berjaya menurunkan kadar defisit dari 5 peratus ke 3.2 peratus,” katanya.

Sementara itu, media melaporkan semalam Buku “Awakening, The Abdullah Years in Malaysia” bukan hasil tulisan Abdullah sebaliknya, koleksi artikel penulis berlainan latar belakang termasuk pemimpin pembangkang.

Perkara itu disahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad yang turut menyumbangkan artikel di dalam buku tersebut.

Nik Nazmi yang juga Pengarah Komunikasi PKR berkata, buku yang disunting editor Bridget Welsh dan James Chin itu merupakan himpunan pandangan pelbagai pihak mengenai era pemerintahan Abdullah.
“Tema umum buku itu ialah penilaian umum dan pandangan masyarakat sepanjang pentadbiran Abdullah. Kedua-dua editor ada menemubual sendiri beliau.

“Selain itu, buku tersebut turut memuatkan artikel daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin BN dan pembangkang, ahli akademik dan sarjana,” katanya.

Artikel dalam buku tersebut turut disumbangkan pemimpin Umno seperti bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim dan bekas Bendahari Umno, Datuk Azim Zabidi.

Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah pula menulis pra-kata buku itu.

Manakala, pemimpin pembangkang pula terdiri daripada Nik Nazmi dan Liew Chin Tong dari DAP.

Dalam buku itu Abdullah dilaporkan berkata Dr Mahathir adalah seorang pemimpin yang penuh kontradiksi dan sekiranya hasrat bekas perdana menteri itu dituruti, Malaysia hari ini sudah muflis.

Ia juga menceritakan bahawa Abdullah meminta bekas Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu supaya bersara setahun sebelum PRU 2008.

Turut dimuatkan adalah kenyataan Abdullah yang berkata tidak salah memperjuangkan satu-satu kaum di negara ini tetapi perjuangan itu tidak seharusnya seperti dilakukan oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa Kebangsaan (Perkasa) pimpinan Datuk Ibrahim Ali. -

Tiada ulasan: