Sabtu, 3 Ogos 2013
Kos petisyen pilihan raya tinggi seperti hukuman buat perayu, kata peguam
Majlis Peguam, peguam dan bekas pegawai kehakiman berkata, kos yang tinggi dengan pembuangan petisyen berikutan kesilapan teknikal memberi gambaran bahawa hakim menghukum calon dan pengundi berkenaan serta tidak menggalakkan litigasi diambil ke peringkat lebih tinggi dengan menggunakan kerugian berbentuk kewangan untuk menakut-nakutkan pihak terbabit.
Mereka berkata, petisyen pilihan raya tidak boleh disamakan dengan kes sivil dan komersial iaitu kos dianugerahkan pada bantahan permulaan dan sebelum ini tidak ada jumlah kos yang terlalu tinggi dianugerahkan.
Peguam senior, Karpal Singh, yang berpengalaman mengendalikan petisyen pilihan raya berkata, kos yang dianugerahkan sebelum ini kurang daripada RM20,000 dan kos itu tidak bermaksud untuk membuat mana-mana pihak kaya.
“Secara idealnya, ia patut kos yang minimum, atau setiap parti patut diperintahkan untuk menanggung kos masing-masing,” katanya kepada The Malaysian Insider di Kuala Lumpur, minggu ini.
Tetapi, ini tidak terjadi kepada keputusan terkini pada Khamis apabila mahkamah pilihan raya menganugerahkan RM150,000 selepas membenarkan bantahan permulaan untuk kerusi Kuala Berang, Terengganu.
Hakim yang bersidang bagi petisyen kerus Pasir Panjang di Perak turut memerintahkan pempetisyen untuk membayar kos RM120,000 kepada tiga responden termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Bagi petisyen pilihan raya yang difailkan bagi kerusi persekutuan Balik Pulau di Pulau Pinang, mahkamah memerintahkan bayaran RM120,000.
Pengerusi Majlis Peguam, Christopher Leong, berkata petisyen pilihan raya adalah membabitkan kepentingan rakyat dan tidak patut disetarakan dengan kes sivil atau komersial.
“Petisyen adalah untuk menjaga kepentingan awam, kos yang dianugerahkan tidak sepatutnya terlalu tinggi.
“Ia juga penting untuk dinyatakan bahawa hampir semua petisyen dibuang tanpa meneleti merit kes,” katanya.
Leong berkata, kos yang tinggi memberi tanggapan seolah-olah mahkamah menghukum litigant.
Beliau berkata, majlis bimbang petisyen yang dibuat hanya kerana masalah teknikal dan sudah tiba masanya pemeriksaan semula yang lebih komprehensif dilakukan.
Seorang peguam senior yang enggan namanya didedahkan, berkata jumlah kos yang tinggi hanya berlaku jika ada perbicaraan.
“Kos yang tinggi akan dipertimbangkan jika perbicaraan mengambil masa beberapa hari da nada memanggil saksi,” katanya.
Peguam, Malik Imtiaz`Sarwar, berkata ada pengecualian daripada petisyen pilihan raya yang pernah dikendalikan sebelum ini.
“Perkara interlokutori dalam kes komersial dan sivil sekali pun, biasanya mahkamah tinggi akan memerintahkan beberapa ribu ringgit sahaja,” katanya.
Pengerusi Bersama Bersih, Ambiga Sreenevesan, berkata penghakiman itu memberi mesej yang negative kepada orang awam dnegan mengenakan kos yang lebih tinggi.
Katanya, pihak yang tidak berpuas hati akan takut untuk mendapatkan keadilan kerana faktor kos.
“Ia tidak menggalakkan seseorang melaksanakan hak asas untuk membuat rayuan,” katanya kepada The Malaysian Insider di Kuala Lumpur.
Bekas ketua Majlis Peguam itu turut berkata, kos yang dianugerahkan kepada pihak yang menangi adalah bagi menampung sebahagian perbelanjaan sepanjang kes berlangsung dan trend terkini
Katanya, kos yang terlalu tinggi itu adalah cara untuk menafikan hak terhadap mendapatkan keadilan.
Ambiga berkata, calon dipilih untuk berkhidmat kepada rakyat dan mahkamah tidak patut mengenakan kos yang tinggi kerana ia adalah satu bentuk hukuman.
“Ini mematahkan semangat seseorang untuk pergi ke mahkamah dan meneruskan ke peringkat rayuan,” katanya.
Beliau juga mempersoalkan mengapa SPR memohon mendapatkan kos sedangkan ia adalah tugas mereka untuk mengendalikan pilihan raya yang bebas dan adil
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan