KUALA TERENGGANU - Mahkamah Pilihan Raya di sini hari ini menolak petisyen yang difailkan oleh Pas untuk mencabar keputusan pilihan raya Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Berang dan Hulu Besut yang dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), 5 Mei lepas.
  
Hakim Datuk Seri Mariana Yahya membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal yang dikemukakan oleh responden.
  
Beliau berkata pihak pempetisyen (Pas) gagal mematuhi beberapa peraturan mengikut Kaedah 9 Kaedah-kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954.
 
Bagi kawasan Dun Kuala Berang, Mariana memerintahkan pihak pempetisyen membayar kos RM50,000 kepada responden pertama iaitu Anggota Dun (Adun) Kuala Berang Datuk Tengku Putera Tengku Awang serta masing-masing RM50,000 kepada responden kedua iaitu Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan responden ketiga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
  
Mahkamah juga memerintahkan pihak pempetisyen membayar kos RM50,000 kepada Adun Hulu Besut, Nawi Mohamad.

Pada PRU13, Tengku Putera, yang juga Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu, mengalahkan calon Pas, Muhyidin Abdul Rashid dengan majoriti 449 undi manakala Nawi menewaskan calon Pas Shalahhudin Jaafar dengan majoriti 1,570 undi.
  
Pada 18 Julai lepas, mahkamah yang sama turut membatalkan petisyen yang difailkan BN terhadap dua Adun Pas Telok Pasu dan Rantau Abang.
  
Dun Telok Pasu dimenangi calon Pas, Ridhuan Hashim yang mengalahkan calon BN Datuk Abdul Rahin Mohd Said dengan majoriti 109 undi manakala Dun Rantau Abang pula dimenangi calon Pas, Alias Harun yang menewaskan calon BN, Datuk Za'abar Mohd Adib dengan majoriti 141 undi.
  
Hakim memerintahkan BN membayar kos RM50,000 kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan SPR serta membayar kos RM30,000 masing-masing kepada dua Adun tersebut.  - Bernama