Selasa, 27 Ogos 2013

Kelemahan M’sia tangani kes Altantuya memalukan negara

Oleh Mohd Arif Juhani

KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Rayuan membebaskan bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar daripada tuduhan membunuh Altantuya Shaariibuu hanya mengulang plot pembebasan penganalisis politik, Abdul Razak Baginda.

Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua berkata, seperti kes Razak yang juga rakan karib Perdana Menteri, pendakwaan terhadap kedua-dua UTK itu mempunyai banyak kecacatan yang menyebabkan peluang untuk mereka bebas makin jelas.

altantuya

“Dalam kes Razak Baginda, hakim membebaskannya selepas mendapati pendakwa gagal membuktikan kes prima facie terhadap beliau dan tindakan pendakwa itu memang sudah dijangka oleh ramai pihak memandangkan hubungan rapatnya dengan tokoh tertinggi negara.

“Jika kita lihat dalam isu anggota UTK ini pula, punca pembebasan mereka adalah kerana Timbalan Supritendan Musa Safri tidak dipanggil dan ini menyebabkan wujud kecacatan dalam pendakwaan,” ujarnya kepada Keadilan Daily.

Justeru, pendakwaan semula wajar dilakukan dengan memanggil saksi penting seperti Perdana Menteri dan Datin Seri Rosmah Mansor, Musa Safri dan lain-lain.

“Peguam Negara juga harus bertanggungjawab dengan kes ini kerana jika mereka yang didakwa membunuh pun sudah dibebaskan, jadi siapakah pembunuh sebenar Altantuya?

“Kelemahan Malaysia untuk menangani kes berprofil tinggi seperti ini hanya menyebabkan kita menjadi bahan ketawa oleh masyarakat antarabangsa dan situasi ini sangat memalukan,” tegasnya.

Tiada ulasan: