Khamis, 1 Ogos 2013

Doakan kesihatan Sanjeevan – Anwar

KEADILAN DAILY

SERDANG : Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini ke Hospital Serdang untuk melawat Pengerusi Mywatch, R Sri Sanjeevan yang cedera ditembak selepas memaklumkan mengenai hasratnya untuk mendedahkan sindiket jenayah polis.

Bagaimanapun, sebaik tiba di hospital tersebut kira-kira jam 1.30 petang tadi, Anwar dihalang memasuki bilik rawatan Sanjeevan, walaupun sebelum itu perbincangan bersama Ketua Polis Daerah Kajang berlangsung.

Foto: Nayeel Aqmar
Foto: Nayeel Aqmar

“Saya ke Hospital Serdang tetapi tidak dibenar melawat atas alasan keselamatan, rawatan rapi dan memuaskan. Doakan…,” tulis Anwar di twitter.

Anwar dalam sidang medianya semalam menggesa polis mempertingkat kawalan keselamatan terhadap hospital yang menempatkan Sanjeevan.

Beliau juga mahu polis menyiasat cubaan bunuh itu serta pendedahan berhubung penglibatan anggota polis dalam sindiket jenayah.

Ini kerana beliau tidak menolak kemungkinan kejadian tembakan itu ada kaitan langsung dengan hasrat untuk mendedahkan penglibatan pegawai polis dengan sindiket jenayah dan kegiatan haram.

Sanjeevan, 29, parah di bahagian rusuk kanan selepas ditembak dua lelaki bermotosikal di simpang jalan di Jempol kira-kira 4.30 petang, Sabtu lalu.

Menurut bapa mangsa, P Ramakrishnan, keadaan anaknya itu kini lebih stabil walaupun kritikal.
Sanjeevan menerima rawatan di Hospital Serdang setelah dipindahkan dari Hospital Tuanku Jaafar, Seremban petang semalam.

Tiada ulasan: